SYARIKAT PRASARANA NEGARA BERHAD
Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) adalah sebuah syarikat milik penuh Kerajaan yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan, bagi memudah, melaksana dan mempercepatkan projek infrastruktur yang telah diluluskan oleh kerajaan. Prasarana dan syarikat kumpulannya adalah pemilik dan pengendali kepada beberapa perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang antaranya LRT Laluan Ampang, LRT Laluan Kelana Jaya, sistem monorel KL dan rangkaian bas di Lembah Klang dan Pulau Pinang, serta perkhidmatan kereta kabel di Langkawi.
Kedua-dua operasi bas dan LRT dikendalikan oleh Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) anak syarikat Prasarana. Ia menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berintegrasi LRT dan bas di Lembah Klang. Ditubuhkan pada bulan Julai 2004 dan beroperasi pada bulan November tahun yang sama, hari ini RapidKL mengendali perkhidmatan LRT Laluan Ampang (dulu dikenali sebagai STAR-LRT) dari Sentul Timur ke Ampang dan Sri Petaling dan Laluan LRT Kelana Jaya (dahulu dikenali sebagai PUTRA-LRT) dari Kelana Jaya ke Gombak. Bus RapidKL beroperasi di lebih 165 laluan yang merangkumi lebih 980 kawasan perumahan di Lembah Klang.
Pada Februari 2007, Kerajaan Persekutuan mengumumkan perlunya pengubahsuaian operasi bas di Pulau Pinang dan sehubungan itu, Rapid Penang Sdn Bhd (Rapid Penang), syarikat milik penuh Prasarana, telah ditubuhkan pada Ogos 2007 untuk mengusahakan perkhidmatan bas di Pulau Pinang dengan kekuatan lebih 350 buah bas.
Pada Disember 2007, Prasarana telah mengambil alih aset dan operasi Sistem KL Monorel, yang kini diuruskan oleh KL StarRail Sdn Bhd (KLSR), syarikat milik penuh Prasarana.
Sejak Januari 2003, Prasarana juga telah mengurus dan mengekalkan perkhidmatan kereta kabel di Langkawi bagi pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melalui anak syarikat milik penuhnya, Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB). Kereta kabel ini menawarkan perkhidmatan ke puncak Gunung Mat Chinchang untuk menikmati keindahan Pulau Langkawi dan kawasan sekitarnya. |