Perjanjian Koletif Pertama RapidKL

Bonus, Kenaikan Gaji Kontraktual untuk Pekerja RapidKL Bawah Perjanjian Bersama Pertama

Kuala Lumpur, 12 Disember 2011 - Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA), syarikat induk kepada RapidKL, hari ini menandatangani perjanjian sulung bersama dengan Kesatuan Pekerja-pekerja RapidKL, yang antara lain memberikan kira-kira 3,500 pekerja bonus kontraktual setengah bulan dan kenaikan gaji tahun minima RM30.

Disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan, Haji Md Yunus Razally, perjanjian yang berkuatkuasa serta merta sehingga 2015 itu meliputi para pekerja bukan eksekutif yang bertugas dalam bahagian perkhidmatan rel dan bas RapidKL termasuk para pemandu, pekerja-pekerja perkeranian dan am serta juruteknik rendah.

Pada majlis itu, pihak pengurusan RapidKL, atau Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras  Sdn Bhd, diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan PRASARANA, Dato’ Shahril Mokhtar, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RapidKL manakala delegasi Kesatuan Pekerja-pekerja RapidKL pula diketuai oleh Presidennya, Encik Somasundram Alagian. Berucap pada majlis berkenaan, Shahril berkata pelbagai faedah telah disediakan di bawah perjanjian bersama itu; dan beliau berharap ia akan menguatkan lagi semangat dan komitmen di kalangan ahli-ahli kesatuan dan para pekerja RapidKL seluruhnya.

“Segala proses rundingan telah berjalan dengan lancar dan dengan penuh keikhlasan; dan sentiasa berpandukan kepada satu  matlamat bersama iaitu untuk memastikan yang terbaik untuk para pekerja yang diwakili dan yang terbaik untuk syarikat.

“Namun, seperti yang kita semua sedia maklum, RapidKL dan kumpulan syarikat PRASARANA secara umumnya masih bergantung kepada sokongan Kerajaan untuk beroperasi; sekali gus menghadkan keupayaan syarikat dalam melaksanakan niatnya untuk memberi yang terbaik kepada semua wargakerja RapidKL dan Kumpulan Prasarana.

“Tetapi, dalam keadaan yang terhad ini, kami masih mampu menyediakan syarat-syarat dan terma serta ganjaran samada berbentuk kewangan atau bukan kewangan yang berpatutan untuk kakitangan. Janji saya cukup mudah. Sekiranya, kita maju dan berjaya, syarikat akan terus menambah baik syarat-syarat dan terma-terma ini seiring dengan kemajuan syarikat” kata Shahril.

Justeru itu, beliau menyarankan seluruh wargakerja Kumpulan PRASARANA untuk bersepakat dan berusaha gigih untuk mengharungi transformasi seperti yang telah digariskan di bawah rancangan ‘Go Forward Plan’ yang dilancarkan oleh syarikat berkenaan pada Januari lepas.

Katanya: “Seluruh Kumpulan PRASARANA termasuk RapidKL kini melalui proses transformasi dan sekiranya program Go Forward Plan yang kita mula pada bulan Januari tahun ini berjalan lancar dan mencapai segala objektif-objektif yang direncanakan, tiada sebab kita tidak boleh maju dan berjaya; sekali gus mampu menjadi sebuah syarikat yang unggul. “Kunci kepada kejayaan itu sebenarnya terletak di tangan setiap seorang kakitangan RapidKL dan Kumpulan PRASARANA. Di sinilah terletaknya fungsi dan peranan penting Kesatuan,” kata Shahril, yang turut menyarankan Kesatuan menjadi rakan seperjuangan pihak pengurusan syarikat dalam misi merealisasikan agenda GFP KUMPULAN PRASARANA. Mengulas tentang perjanjian bersama itu, Somasundram melahirkan rasa gembira dan puas hati dengan proses runding, yang pada pandangan beliau berjalan dengan penuh keterbukaan dan keikhlasan.

“Bagi pihak Kesatuan dan para pekerja RapidKL, saya berterima kasih kepada pengurusan kerana mengamalkan sikap terbuka dan hormat kepada Kesatuan,” kata Somasundram, yang turut menegaskan bahawa Kesatuan Pekerja-pekerja RapidKL akan bekerjasama erat dengan pengurusan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja.