Keperluan baru penggunaan Rapidpass TnG di Bas RapidKL mulai 1 Julai 2012

 


Kuala Lumpur, 29 Jun 2012 - Sistem tiket bas baru RapidKL yang mula diperkenalkan pada tahun 2011, kini akan diperluaskan untuk penggunaan Rapidpass Touch ‘n Go (TnG) bermula Ahad ini, 1 Julai 2012. Sistem tiket yang baru ini memerlukan pengguna kad Rapidpass TnG menyentuh kad di mesin pengimbas semasa masuk dan sebelum turun daripada bas serta memerlukan pengguna mempunyai nilai simpanan minima sebanyak RM3 sebelum memulakan perjalanan. 

Bagi pengguna Rapidpass TnG, nilai simpanan sebanyak RM3 akan ditolak semasa kad disentuh di mesin pengimbas dan nilai simpanan sebanyak RM3 akan dipulangkan ke dalam kad bila kad disentuh semasa turun. 

Pengarah Kumpulan, Divisyen Bas PRASARANA, Zohari Sulaiman berkata pengguna Rapidpass TnG tidak perlu bimbang kerana sistem akan memulangkan keseluruhan nilai simpanan RM3 jika mereka menggunakan sistem tiket baru ini dengan betul. Pelaksanaan ini melibatkan semua jenis Rapidpass TnG  iaitu Bas dan Integrasi, yang boleh digunakan di dalam bas RapidKL.  

Secara ringkasnya, penggunaan kad Rapidpass TnG adalah seperti berikut:

1.     Pengguna Rapidpass TnG hanya perlu memastikan mereka mempunyai baki
        nilai simpanan minima sebanyak RM3 sebelum memulakan perjalanan;

2.     Sentuh kad Rapidpass TnG semasa masuk (nilai simpanan sebanyak RM3 akan ditolak);

3.     Sentuh kad Rapidpass TnG sebelum turun (nilai simpanan sebanyak RM3 akan
        dipulangkan ke dalam kad).

“Kegagalan untuk mempunyai nilai simpanan minima RM3 akan menyebabkan penumpang dikenakan bayaran untuk perjalanan sehala secara tunai.

Oleh itu, pihak pengurusan ingin mengingatkan para pengguna Rapidpass TnG untuk menambahnilai simpanan semasa membeli atau memperbaharui Rapidpass TnG, bagi memastikan baki nilai simpanan minima sebanyak RM3 di dalam  Rapidpass TnG mereka,” kata Zohari. 

Bagi penumpang yang tidak menggunakan kad TnG atau Rapidpass TnG, mereka perlu menyediakan wang tambang secukupnya sebelum memulakan perjalanan kerana baki tidak akan dikembalikan.

 

 

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Talian Bantuan : 03-7885 2585 (Isnin-Jumaat 7.00 pagi hingga 8.30 malam, Sabtu dan Ahad 8.30 pagi hingga 5.30 petang atau layari laman sesawang www.myrapid.com.my atau ikuti Twitter : @MYrapidKL  Facebook : myrapid