Lori tangki minyak terbabas, rempuh tren, uji kecekapan staf rel Prasarana


Kuala Lumpur, 23 Jun 2012 -  Para petugas Monorel dan LRT RapidKL mengharungi detik cemas bersama pasukan agensi penyelamat dalam satu Latihamal Pelan Tindakan Kecemasan (Emergency Response Plan) Bersepadu membabitkan stesen integrasi KL Monorel dan LRT, yang diadakan awal pagi ini.

Latihamal yang dikenali sebagai Ex-AMMOK 2012 ini adalah Latihamal Pelan Tindakan Kecemasan Bersepadu yang pertama kali diadakan membabitkan dua stesen iaitu Stesen Monorel Hang Tuah dan Stesen LRT Ampang Hang Tuah. Buat pertama kalinya juga anggota pasukan penyelamat menggunakan pengangkutan awam iaitu tren untuk sampai ke tempat kejadian.  

Latihamal ini disertai kira-kira 800 peserta termasuk kakitangan RapidKL dan pasukan penyelamat pelbagai agensi antaranya Polis DiRaja Malaysia Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hospital Kuala Lumpur, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Persatuan Bulan Sabit Merah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan  Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Program latihamal ini diadakan untuk menguji dan menilai keberkesanan Prosedur Operasi Piawai (SOP) dan Pelan Tindakan Kecemasan RapidKL serta melatih kakitangan dalam mengurus kecemasan.  Ia perlu bagi memastikan kesiapsiagaan kakitangan RapidKL serta agensi-agensi penyelamat dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan. 

“Segala kelemahan dan kekurangan daripada latihamal ini akan dinilai dan diperbaiki bagi memantapkan Pelan Tindakan Kecemasan RapidKL,” kata Pengarah bagi Latihamal Pelan Tindakan Kecemasan Bersepadu ini , Ahmad Nizam Mohamed Amin, yang juga Ketua Pegawai Operasi Rel, LRT Laluan Kelana Jaya RapidKL.  

Senario latihamal bermula apabila sebuah lori tangki minyak yang hilang kawalan telah merempuh struktur monorel Stesen Hang Tuah dan terbabas sehingga memasuki landasan LRT  Laluan Ampang berdekatan Stesen Hang Tuah.  Pada masa yang sama sebuah tren LRT Laluan Ampang sedang melintasi kawasan tersebut telah dihempap oleh lori tangki minyak menyebabkan berlakunya letupan dan kebakaran. 

Dalam pada itu, sebuah tren KL Monorel dari arah Maharajalela menuju ke Hang Tuah juga sedang melintasi kawasan kemalangan, lalu terbakar.  Keseluruhan jalan di Kuala Lumpur mengalami kesesakan lalulintas menyebabkan anggota penyelamat tidak dapat sampai ke tempat kejadian dengan segera.  Oleh yang demikian, anggota pasukan penyelamat terpaksa menggunakan perkhidmatan tren untuk membawa anggota dan peralatan bantuan ke tempat kejadian. 

Akibat daripada kemalangan tersebut, empat orang penumpang tren telah meninggal dunia, 14 orang cedera parah, enam orang cedera separa parah dan 10 orang cedera ringan.  

 

Untuk maklumat lanjut berkaitan Siaran Media ini, sila hubungi Haliza Abd Hamid HP: 019-221 0058.