Stesen LRT Bukit Jalil berfungsi sebagai The Station of Life

KUALA LUMPUR, Selasa, 24 Julai 2012 - Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), anak syarikat Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), sekali lagi menjadikan Stesen LRT Bukit Jalil sebagai Station of Life untuk mempromosikan semangat kesukanan di kalangan warga Lembah Klang.
 
Stesen ini pernah berfungsi sebagai Station of Life pada tahun 2011. Station of Life merupakan salah satu aktiviti di dalam program Big & Lasting Impact Project (BLIP) bagi Divisyen Rel Prasarana untuk menyokong pelan pembangunan jangka masa panjang Prasarana, Go Forward Plan (GFP).
 
Inisiatif ini juga bagi menyokong Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di dalam meningkatkan peratusan penggunaan pengangkutan awam di kalangan para komuter di Lembah Klang.
 
“Station of Life adalah konsep untuk menonjolkan stesen-stesen LRT sebagai tempat bagi warganegara khususnya penumpang-penumpang LRT untuk relaks, bersosial, berhibur dan juga mendapat maklumat terkini berhubung dengan program-program syarikat dan kerajaan,” kata Pengarah Kumpulan Divisyen Rel Prasarana, Encik Khairani Mohamed di dalam kenyataan hari
ini.
 
Manakala bagi tahun ini, tema The Flame of Sporting Spirit dipilih sejajar dengan beberapa acara-acara sukan bertaraf antarabangsa yang berlangsung di Stadium Sukan Bukit Jalil dan juga Sukan Olimpik di London.
 
“Tema ini diharap dapat menyemarakkan semangat rakyat Malaysia untuk menyokong pasukan dan atlit-atlit Malaysia yang bertanding di dalam pertandingan sukan berkenaan. Dengan menjalankan program ini, pihak kami berharap rakyat Malaysia bersatu hati di dalam memberi sokongan kepada atlit-atlit Malaysia. Manakala, para atlit akan maklum bahawa seluruh rakyat
Malaysia mendoakan kejayaan mereka dan ini akan menyemarakkan semangat ‘Malaysia Boleh’,” tambah Encik Khairani.
 
Program Station of Life – The Flame of Sporting Spirit ini bermula pada hari Ahad (22 Julai 2012) sehingga 12 Ogos 2012. Ianya dijangka akan mendapat sambutan baik daripada para penumpang LRT serta kakitangan Prasarana keseluruhannya. Antara aktiviti-aktiviti yang disediakan sepanjang masa kempen ini adalah perlawanan pingpong antara pelanggan dan petugas syarikat, menjaringkan gol penalti secara menyepak dari belakang dan juga sukan spontan oleh artis-artis di bawah seliaan Astro.
 
Sepanjang sambutan Station of Life, Stesen Bukit Jalil akan beroperasi seperti biasa kecuali pada hari perlawanan 24 Julai 2012 (Malaysia menentang Arsenal) dan 30 Julai 2012 (Malaysia lawan Manchester City) di mana operasi tren dan stesen dilanjutkan sehingga jam 12.15 tengah malam atau sehingga semua penumpang habis menggunakan perkhidmatan tren.
 
Manakala bagi acara Olimpik, penganjur dengan kerjasama Astro akan menyediakan layar TV besar bagi menayangkan acara-acara sukan di Olimpik sepanjang masa operasi stesen berkenaan.