Bubur Lambuk Eratkan Hubungan Prasarana Dengan Komuniti Setempat

Selain kurma, bubur lambuk juga merupakan juadah yang popular setiap kali tibanya Ramadan. Keenakan aromanya memang memikat penggemar juadah tersebut.

Sempena bulan mulia ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama Persatuan Wanita Berdaya Lembah Subang 1 telah mengambil inisiatif dalam penganjuran Program Kawah Bubur Lambuk bagi mengeratkan hubungan dengan komuniti serta memupuk semangat kebersamaan.

Program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan melalui jalinan erat bersama komuniti setempat, khususnya penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).

Pemangku Ketua Pegawai Operasi MRT Rapid Rail, En Ir Arnizan Ariffin berkata, “Kami terpanggil untuk mengadakan program gotong-royong memasak bubur lambuk bersama komuniti PPR Lembah Subang 1 kerana komuniti ini amat rapat dan dekat di hati Prasarana. Ia ditambah dengan lokasi PPR ini terletak bersebelahan dengan Kompleks Rapid Rail dan Menara Prasarana Subang.”

“Setiap hari penduduk ini melihat operasi dan kemajuan sistem Laluan Kelana Jaya menerusi jendela rumah mereka. Selain itu, ia juga mencerminkan komitmen korporat Prasarana dalam tanggungjawab sosial,” ujar Arnizan.

Program Kawah Bubur Lambuk melibatkan aktiviti penyediaan, memasak, pembungkusan, dan pengagihan bubur lambuk kepada komuniti setempat. Sebanyak 600 pek bubur lambuk telah diagihkan bermula jam 2.00 petang kepada penduduk setempat, selain pengedaran 40 set kotak makanan keperluan harian kepada golongan yang memerlukan.

Program ini turut dihadiri oleh wakil dari Prasarana iaitu Ketua Operasi Laluan Kelana Jaya, Encik Noordin Abu Bakar, Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Tuan Mohd Ikhshan bin Mohamad Din dan Presiden Persatuan Wanita Berdaya, Puan Isham binti Romli, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini bersama Prasarana.

Melalui program ini, Prasarana berharap dapat terus memainkan peranan dalam membantu komuniti dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Semangat kebersamaan dan nilai murni yang diterapkan dalam program ini mencerminkan usaha kolektif dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu padu. Prasarana amat berbesar hati untuk terus menjalankan inisiatif sebegini pada masa akan datang, dengan harapan agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pihak.

Loading Tender ...

Loading Profile ...