Membina Nilai, Bukan Sekadar Aset

Syed Redza Algadrie percaya bahawa kejayaan sebenar bukan diukur melalui jumlah aset yang dikumpul, tetapi melalui nilai yang mampu memberi impak kepada orang lain.

“Kalau kita buat sesuatu hanya untuk untung semata-mata, hasilnya tidak akan kekal lama. Tapi kalau dibina nilai untuk pelanggan, komuniti, dan organisasi, hasilnya akan memberi kesan jangka masa yang lebih panjang,” ujarnya.

Pemikiran ini menjadi pegangan beliau sejak awal kerjayanya dan kini menjadi teras kepada visinya di Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE).

Anak kelahiran Pulau Pinang ini tidak terus melangkah ke dunia besar. Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sains di Universiti Malaya, beliau memulakan kerjaya di sebuah syarikat kecil yang menghasilkan barang kemas di Pulau Pinang dan selanjutnya ke sebuah syarikat komponen getah di Kuala Lumpur.

“Kerja pertama tu tak lama, tapi di situlah saya belajar tentang ketelitian dan disiplin,” kongsinya.

Pengalaman awal itu menjadi asas kepada perjalanan 23 tahun bersama Chevron, syarikat tenaga antarabangsa yang membawanya dari Malaysia ke Asia Tenggara, Hong Kong, China Selatan dan Afrika Selatan. Di sana, beliau terlibat dalam pelbagai aspek perniagaan — perancangan strategi, pengusahaan komersil, pembangunan hartanah, dan pengurusan aset. Ia membentuk keupayaan beliau untuk menghubungkan visi jangka panjang dengan pelaksanaan praktikal, satu kelebihan yang kini diterapkan di PRIDE.

Sebelum menerajui Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), Syed Redza pernah menjadi pelanggan organisasi ini sewaktu berkhidmat di 7‑Eleven Malaysia.

“Lucu bila fikir balik. Dulu saya pelanggan PRIDE, menyewa tapak perniagaan, dan sekarang saya pula sebagai tuan punya tapak,” katanya sambil tersenyum. “Tapi pengalaman tu buat saya faham apa yang penyewa dan pelanggan perlukan.”

Pengalaman ini mengasah empati dan keupayaan beliau membina kerjasama strategik — daripada penyewa kecil hingga jenama antarabangsa.

Dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PRIDE pada 2 Mei 2025, Syed Redza membawa lebih tiga dekad pengalaman dalam sektor tenaga, runcit, perkhidmatan makanan, dan pembangunan perniagaan.

Beliau pernah memegang jawatan kanan dalam perancangan dan pembangunan aset hartanah komersil di 7‑Eleven, Lotus’s, dan McDonald’s Malaysia. Kini, beliau sedang merangka pelan monetisasi aset Prasarana, termasuk hak penjenamaan stesen, kerjasama runcit, aplikasi MyRapid PULSE dan strategi pengiklanan bergerak yang lebih berimpak.

Bagi beliau, PRIDE bukan sekadar pengurus ruang komersial. “Kita bukan sekadar urus ruang di stesen tren atau bas. Kita sebenarnya sedang membina platform dan ekosistem untuk peluang, interaksi dan kehidupan bandar,” jelasnya.

Setiap aset PRIDE perlu “bernyawa” — dari ruang iklan hingga kawasan niaga. Bagi beliau, setiap ruang iklan adalah peluang bercerita, menghubungkan jenama dengan jutaan penumpang setiap hari, bukan sekadar paparan visual.

Dan di sebalik semua inisiatif ini, PRIDE berpegang pada satu tagline yang menjadi panduan: “Enjoy the Journey.” Dalam setiap projek, matlamatnya jelas — memastikan komuniti dan penumpang bukan sahaja sampai ke destinasi, tetapi menikmati perjalanan itu sendiri.

Di sebalik visi besar ini, beliau menegaskan bahawa kejayaan PRIDE tidak mungkin dicapai tanpa pasukan yang berdedikasi.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian dan semangat kerja berpasukan warga PRIDE. Mereka bukan sahaja menunjukkan profesionalisme yang tinggi, tetapi juga keberanian untuk berinovasi dan bekerjasama merentas disiplin. Keyakinan saya jelas — kita mempunyai pasukan “Wings Of PRIDE” yang mantap untuk membawa PRIDE ke tahap seterusnya.”

Visi beliau adalah menjadikan PRIDE sebagai penanda aras global dalam mobiliti bandar — menggabungkan teknologi pintar, kerjasama antarabangsa, dan strategi kelestarian.

Dengan pendekatan ini, PRIDE bukan sahaja menjana pendapatan, tetapi juga menyokong pelaburan semula dalam pengalaman penumpang dan kelestarian bandar.

Apa jua projek atau strategi yang dirancang, beliau sentiasa kembali kepada prinsip yang sama — buat sesuatu dengan nilai.

“Saya percaya bila kita bina sesuatu dengan niat baik dan nilai yang jelas, hasilnya akan berkekalan. Itulah semangat yang saya mahu bawa ke PRIDE,” katanya menutup perbualan dengan senyuman.

Loading Tender ...

Loading Profile ...