Mechamato “Serang” Bukit Jalil

Siapa yang tidak mengenali Mechamato? Hero animasi popular hasil karya Monsta, studio tempatan yang juga terkenal menerusi siri BoBoiBoy. Kali ini, Mechamato bukan sekadar muncul di skrin, malah “turun padang” menemui peminat di Stesen LRT Bukit Jalil!

Sempena program Jelajah Kad Monsta Galaxy x Rapid KL, suasana stesen yang lazimnya sibuk dengan penumpang bertukar menjadi lebih meriah dengan kehadiran keluarga, peminat animasi dan pelbagai aktiviti interaktif. Gelak tawa dan wajah ceria jelas menghiasi setiap sudut sepanjang program berlangsung.

Antara tarikan utama sudah tentu pertandingan Kad BoBoiBoy Galaxy yang mendapat sambutan hangat, selain aktiviti mewarna yang mengujakan kanak-kanak. Menariknya, bukan sahaja si kecil yang teruja, malah ibu bapa turut sama mengambil peluang untuk menyertai aktiviti dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Bagi memeriahkan lagi suasana, Rapid KL turut berganding bahu dengan beberapa rakan strategik seperti AZLOFT, Jom Hotel, Chocolate Museum Kota Damansara, Chocolate Museum Putrajaya, Immersify dan DurianBB Academy. Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pelbagai aktiviti menarik, malah berpeluang mendapatkan promosi eksklusif serta hadiah istimewa daripada rakan-rakan kolaborasi yang mengambil bahagian.

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Rapid KL dan Monsta menerusi jenama Mechamato sebagai tanda penghargaan kepada komuniti pengguna setia pengangkutan awam. Lebih daripada itu, ia membuktikan bahawa ruang transit bukan sekadar tempat untuk memulakan perjalanan, tetapi juga boleh menjadi ruang yang menghubungkan komuniti, mencipta pengalaman bermakna dan menghadirkan detik-detik yang menggembirakan untuk seisi keluarga.

Loading Tender ...

Loading Profile ...