Picnic with Rapid KL 2026: Mengukuhkan Ikatan Bersama Komuniti Digital

Sorakan, gelak tawa dan suasana penuh warna-warni memeriahkan perkarangan Stesen Stadium Shah Alam pada 1 Ogos lalu apabila seramai 200 pengikut setia media sosial Rapid KL berkumpul menjayakan Picnic with Rapid KL 2026, sebuah program santai yang meraikan komuniti pelanggan yang sentiasa menyokong jenama Rapid KL.

Program edisi kedua ini menjadi simbol penghargaan Rapid KL kepada para pengikut media sosial yang bukan sahaja aktif berinteraksi di platform digital, malah merupakan pengguna setia perkhidmatan pengangkutan awam setiap hari.

Pelbagai aktiviti interaktif disediakan sepanjang acara, termasuk menghasilkan rantai kunci, menghias kek cawan, menghasilkan gubahan bunga serta pelbagai permainan santai yang menggalakkan interaksi bersama peserta. Peserta turut dijamukan dengan hidangan ringan seperti manisan, ais krim dan jus buah-buahan segar sambil santai berbual dengan rakan-rakan.

Bagi salah seorang peserta, Nik Nur Asyiqin Binti Nik Mohd Fairos, 28, pengalaman menyertai Picnic with Rapid KL meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan.

“Saya paling suka aktiviti gubahan bunga kerana hasilnya bukan sahaja cantik dengan pelbagai pilihan bunga, malah boleh dibawa pulang sebagai kenangan. Walaupun aktiviti yang disediakan ringkas, saya dapat rasakan setiap pengisian program ini dirancang dengan teliti untuk memastikan peserta menikmati pengalaman yang menyeronokkan,” katanya.

Di sebalik kemeriahan program, Picnic with Rapid KL turut menjadi platform penting bagi Rapid KL mendengar sendiri pandangan dan maklum balas daripada para pelanggan. Setiap cadangan yang dikongsikan menjadi input berharga dalam usaha berterusan meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman pelanggan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2024, Picnic with Rapid KL telah berkembang menjadi salah satu inisiatif libat urus komuniti yang dinanti-nantikan. Program ini mencerminkan komitmen Rapid KL untuk terus mendekati pelanggan melalui pendekatan yang lebih mesra, inklusif dan bermakna, sekali gus memperkukuh hubungan yang terjalin bukan sahaja di dalam tren dan bas, malah juga di luar waktu operasi harian.

Melalui inisiatif seperti ini, Rapid KL percaya bahawa hubungan yang kukuh dengan komuniti merupakan asas penting dalam mewujudkan pengalaman mobiliti awam yang lebih berkualiti, selaras dengan aspirasi syarikat yang mengutamakan kepuasan pelanggan.

Loading Tender ...

Loading Profile ...