Lunch Hour Yang Tak Pernah Kosong

Setiap hari ada dua masa yang paling ditunggu-tunggu, iaitu waktu rehat dan balik. Satu jam untuk makan, rehatkan otak, atau berdiam diri seketika.  Satu jam untuk lari dari kerja hakiki dan berbual tentang hal random.

Dan ini adalah cerita dari mata seorang pelatih yang extroverted.  Tapi ini tak bermakna saya tak boleh bersendirian.

Saya boleh. Cuma, kali ini buat pertama kalinya saya menyewa bilik seorang diri di tengah-tengah Kuala Lumpur, jauh dari keluarga dan kawan rapat.

Sunyi mula terasa.
Tiada suara untuk didengari. Tiada cerita yang ingin dikongsi. Tiada sesiapa untuk diteguri.

Jadi waktu yang paling memecah kesunyian saya adalah pada hari bekerja. Atau lebih tepat, lunch hour.

Laptop ditutup. Kerja direhatkan sekejap. Semua mula angkat kepala, cari makanan dan kumpul tenaga untuk meneruskan separuh hari yang seterusnya.

Dan pada waktu itulah, rakan-rakan sekerja saya akan pastikan saya tak makan seorang diri.

Dalam diam saya menunggu ajakan,

“Naz, jom lunch.”

“Jom lunch dengan geng intern yang lain.”

“Kak Pah, nak Zus Coffee tak?”

Dan yang paling saya ingat, ada satu hari tu semua orang buntu. Tak tahu nak makan di mana.

Sampai satu tahap, diorang bagi saya homework untuk senaraikan kedai makan yang best untuk dicuba dan biarkan saya buat pilihan. “Kali ini kita ikut tekak awak pula.”

Siap ada deadline lagi!

Benda kecil macam ajakan makan mungkin nampak biasa. Tapi bagi saya, ia membawa makna yang lebih besar. Buat saya rasa a part of the team. Saya tak sangka perbezaan umur dan pangkat bukan alasan untuk tidak duduk semeja.

Waktu makan jadi ruang untuk bertukar cerita dan berbual santai. Sekurang-kurangnya, dapatlah lupakan kerja buat sementara waktu.

Dalam masa yang sama, saya dapat mengenali skop kerja jabatan lain dan catch up dengan rakan-rakan intern yang berada di depoh lain.

Perbualan bersama rakan sekerja yang lebih berpengalaman pula buat saya nampak dunia kerjaya dari perspektif yang berbeza. Mendengar kisah perjalanan mereka, saya mula terfikir, bagaimana pula perjalanan saya selepas ini? Berapa banyak cabaran yang perlu saya tempuhi?

Mana tahu, suatu hari nanti mungkin saya perlukan bantuan dan nasihat daripada mereka?  Who knows, right?

Tapi lebih daripada semua tu, makan bersama juga mengingatkan saya tentang keberkatan apabila kita berkongsi rezeki dan meluangkan masa bersama orang lain.

Sememangnya, detik-detik dalam hidup terasa lebih manis apabila dikongsikan bersama.

Jadi, terima kasih.

Terima kasih sebab menjadikan lunch hour saya tak pernah sunyi.

Loading Tender ...

Loading Profile ...