D.Y.M.M. Sultan Selangor Berkenan Mencemar Duli Menaiki LRT3 Laluan Shah Alam

Pada 13 Julai 2026, LRT3 Laluan Shah Alam menerima satu penghormatan besar apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan mencemar duli menaiki perkhidmatan tersebut dari Stesen Bandar Utama ke Stesen Johan Setia sempena pelancaran operasi rasmi laluan baharu itu.

Baginda diiringi oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Ketibaan rombongan diraja telah disambut oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan, bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan), Dr. Prodyut Dutt dan Ketua Operasi Laluan Shah Alam, Mohd Ariffin Idris.

Sepanjang perjalanan, Baginda berkenan meninjau kemudahan serta operasi LRT3 yang kini menghubungkan kawasan-kawasan utama di Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Laluan baharu ini dijangka memberi manfaat kepada ratusan ribu penduduk dengan menyediakan pilihan perjalanan yang lebih selesa, pantas dan mampan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada Prasarana atas kejayaan merealisasikan projek pengangkutan awam yang telah lama dinantikan rakyat, khususnya penduduk Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya. Baginda turut menyifatkan LRT3 sebagai kemudahan penting yang mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar.

Baginda juga menekankan bahawa kejayaan LRT3 bukan sekadar terletak pada pembinaan stesen, landasan dan tren, tetapi merupakan hasil usaha serta komitmen pelbagai pihak yang telah menjayakan projek tersebut sejak peringkat perancangan sehingga kini.

Dalam masa yang sama, Baginda berharap agar kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat serta menjadi pemangkin kepada budaya penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas. Dengan rangkaian yang lebih baik dan sambungan yang lebih mudah, LRT3 dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong mobiliti harian komuniti serta pembangunan berterusan kawasan yang dilaluinya.

Lawatan bersejarah ini bukan sahaja menandakan permulaan operasi LRT3 Laluan Shah Alam, malah mencerminkan keyakinan terhadap peranan pengangkutan awam sebagai pemacu pembangunan bandar dan kesejahteraan rakyat di Selangor.

Loading Tender ...

Loading Profile ...