Di tengah kesibukan ibu kota Kuala Lumpur, terserlah sebuah jejantas ikonik yang kini menjadi tumpuan orang ramai, khususnya pelancong tempatan dan luar negara: Saloma Link.

Dikenali dengan rekaan seni bina yang unik, Saloma Link menghubungkan Kampung Baru dengan kawasan KLCC/Jalan Ampang, menjadikannya laluan pejalan kaki yang praktikal serta simbol hubungan antara warisan dan pembangunan moden.
Pada waktu malam, kilauan lampu LED yang menerangi jejantas ini menjadikannya antara mercu tanda bandar yang paling mencuri perhatian; bukan sekadar untuk bergambar, malah sebagai laluan mobiliti pejalan kaki yang selamat dan selesa.
Selepas menikmati pelbagai pilihan makanan enak di Kampung Baru, apa salahnya meluangkan masa berjalan kaki ke Saloma Link sambil menikmati suasana bandar yang berbeza daripada kebiasaan.
Akses ke lokasi:
Naiki Rapid KL Laluan Kelana Jaya, dan turun di Stesen Kampung Baru. Dari situ, Saloma Link boleh diakses dengan berjalan kaki sahaja.
Lebih daripada sekadar jejantas, Saloma Link ialah simbol bagaimana sebuah bandar moden boleh berkembang tanpa melupakan akar sejarah dan keperluan pejalan kaki.
