Rapid Bus Sdn Bhd telah memulakan pengoperasian bas elektrik pertama bagi perkhidmatan bas henti-henti Rapid Penang secara berperingkat mulai 17 Oktober 2026 lalu, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam yang mesra alam di Pulau Pinang.
Ini merupakan sebahagian daripada pelan peralihan strategik Prasarana yang merangkumi perolehan 1,600 buah bas elektrik secara berperingkat bagi tempoh 2026 hingga 2031, untuk menggantikan sebahagian bas diesel sedia ada dalam rangkaian perkhidmatan Rapid Penang dan Rapid KL.
Pelaksanaan secara berperingkat ini bertujuan memantau prestasi, kebolehpercayaan dan keperluan penyelenggaraan bas elektrik bagi memastikan kelancaran operasi serta kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi negara untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor pengangkutan seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030. Pada masa yang sama, ia turut menyokong usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperluas penggunaan teknologi hijau serta membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih lestari
Pengenalan bas elektrik ini bukan sekadar penambahan aset baharu, tetapi merupakan langkah ke hadapan dalam membentuk masa depan pengangkutan awam yang lebih cekap dan mesra alam. Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada transformasi mobiliti hijau dan menggalakkan lebih ramai rakyat memilih pengangkutan awam sebagai mod perjalanan utama mereka.
Fakta ringkas!
- Lebih senyap.
- Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang berfungsi sebagai bantuan pemanduan dan amaran kepada kapten bas.
- Acoustic Vehicle Alerting System (AVAS) yang menghasilkan bunyi amaran luaran. Ciri ini membantu meningkatkan kesedaran pejalan kaki dan pengguna jalan raya terhadap kehadiran bas, terutamanya ketika ia bergerak pada kelajuan rendah.
