Prasarana Malaysia Berhad menempa lagi sejarah bermakna apabila diiktiraf oleh badan antarabangsa sebagai Pusat Latihan Serantau (RTC) kedua di Asia Pasifik yang dinaungi Union Internationale des Transports Publics (UITP).
UITP adalah sebuah organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh pemegang taruh dan pihak berkepentingan di dalam sektor pengangkutan seperti penggubal polisi, syarikat pengendali, institusi Pendidikan, pembekal serta penyedia perkhidmatan dalam pengangkutan awam.
Berpangkalan di Belgium, UITP adalah platform untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam mod pengangkutan awam bagi membantu negara-negara anggota memantapkan kualiti perkhidmatan di negara masing-masing.
Berucap semasa majlis menandatangani perjanjian kerjasama ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata sebagai RTC di bawah kelolaan UITP, Prasarana kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk membangunkan modal insan dalaman serta memberi manfaat kepada seluruh ekosistem pengangkutan awam di Malaysia dan Asia Pasifik.
“Sebagai salah satu daripada dua RTC di Asia Pasifik, Malaysia kini diiktiraf sebagai pusat latihan bagi pengangkutan awam di peringkat antarabangsa di mana pengiktirafan ini membantu meningkatkan profil negara dalam industri pengangkutan awam, menjadikan Malaysia sebagai pemain utama tempatan dalam sektor ini.
Turut serta di dalam majlis ini adalah Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Hasni Habibollah, Setiausaha Kehormat UITP, Mohammed Mezghani dan barisan kepimpinan Prasarana.
Sementara itu, Ketua Setiausaha UITP, Mohamed Mezghani, berkata, pemilihan Prasarana sebagai pusat latihan serantau UITP membuktikan kebolehan dan kepercayaan organisasi terhadap kerjasama serta menaikkan martabat Prasarana sebagai pemangkin dan model bagi operator pengangkutan awam yang lain.

