Pada 10 Disember 2024, Rapid KL telah mengadakan program jerayawara “Jom Ke Sekolah” di Sekolah Kebangsaan Serdang, Selangor, yang melibatkan 980 pelajar, termasuk pelajar pra sekolah dan pelajar kelas pendidikan khas. Program ini bertujuan untuk mendidik pelajar tentang kepentingan menggunakan pengangkutan awam serta tips keselamatan jalan raya, Inisiatif ini juga dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar mengenai pengangkutan awam dalam aspek kehidupan seharian, serta memperkenalkan rangkaian perkhidmatan Rapid KL di kawasan tersebut.
Program ini dimulakan dengan sesi Pocket Talk yang memberikan maklumat tentang kebaikan menggunakan pengangkutan awam dan tips keselamatan jalan raya. Untuk menambah keseronokan, pelajar diberikan belon, buku aktiviti MyRapid Junior, pelekat, dan alat tulis yang ditaja oleh KFC, rakan strategik Rapid KL untuk Pas MyTourist. Selain itu, Rapid KL juga menganjurkan pertandingan mewarna dan sesi seni bina kraf bas Rapid KL, yang diadakan bersama pelajar dalam satu sesi subjek Pendidikan Seni Visual.
Kerjasama dengan KFC jenama makanan segera yang popular di kalangan kanak kanak di Malaysia, menambah keceriaan dalam segmen Bersama KFC dengan penampilan istimewa maskot Chicky dan aktiviti menari bersama Chicky. Program ini juga memperkenalkan produk dan perkhidmatan Rapid KL, termasuk MyRapid Junior dan Kad Konsesi Pelajar. Sesi soal jawab diadakan untuk menggalakkan interaksi antara pelajar dan wakil Rapid KL, memberikan peluang kepada mereka untuk bertanya dan mendapatkan maklumat lanjut.
Secara keseluruhannya, program “Jom Ke Sekolah” telah memberikan impak positif kepada semua yang terlibat. Rapid KL berharap inisiatif ini dapat memperkukuhkan pengetahuan pelajar tentang keselamatan jalan raya dan penggunaan pengangkutan awam.
