Kempen ‘Enjoy Kajang’ hasil kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan Tourism Selangor telah diluncurkan oleh YB Dato’ Ng Suee Lim, Exco Pelancongan Negeri Selangor disaksikan Tuan Nazli Mad Taib, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang.
Kempen ini diluncurkan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan En. Ir. Arnizan Ariffin, Pemangku Ketua Pegawai Operasi MRT telah mewakili Prasarana sebagai salah satu rakan strategik kempen ini. En. Arnizan menyerahkan ‘mock’ pas MyCity kepada YB sebagai simbolik bagi delegasi dan rakan media untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan pas perjalanan tanpa had 1-hari.
MPKj merupakan pihak berkuasa tempatan pertama yang mengambil inisiatif untuk mempromosikan Selangor di luar sempadannya, khususnya di KL Sentral, melalui kempen ‘Enjoy Kajang’.
KL Sentral dipilih sebagai lokasi peluncuran kerana kedudukannya sebagai hab pengangkutan awam utama, yang menawarkan pelbagai jenis pengangkutan awam, menjadikannya lokasi yang sesuai untuk sampai ke destinasi dengan mudah dan lancar.
Selepas majlis peluncuran, delegasi dan rakan-rakan media telah merasai pengalaman menaiki tren MRT Laluan Kajang dari Stesen Muzium Negara menuju ke Stesen Stadium Kajang.
Objektif utama majlis peluncuran ‘Enjoy Kajang’ adalah untuk menyokong kempen Tahun Melawat Selangor 2025, yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor. MPKj mengambil peluang untuk mempromosi tempat-tempat pelancongan yang menonjolkan keindahan semula jadi, gastronomi, taman tema, seni budaya, dan warisan yang terdapat di Kajang dan kawasan-kawasan di bawah seliaan MPKj, termasuk geopark kebangsaan pertama di Selangor iaitu Geopark Gombak-Hulu Langat.
Dengan tema “Selangor Menyeronokkan” atau “Selangor Boleh!”, kempen ini bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan sektor pelancongan Selangor kepada pelancong tempatan dan antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha negeri untuk mencapai sasaran pendapatan pelancongan sebanyak RM11.7 bilion melalui Tahun Melawat Selangor 2025.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) turut mempromosikan pelancongan di Kajang sambil mendorong orang ramai menggunakan pengangkutan awam yang lestari dan mudah diakses. Melalui pembelian pas MyCity dan MyTourist, pengguna dapat menikmati perjalanan tanpa had di semua perkhidmatan Rapid KL seperti LRT, MRT, Monorel, BRT, dan perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL bagi sehari, dua hari, atau tiga hari, bergantung pada jenis pas yang dibeli.
Inisiatif ini mengukuhkan komitmen Prasarana untuk menyokong usaha pelancongan tempatan dan meningkatkan hubungan yang lancar untuk pengunjung dan komuniti. Tahun Melawat Selangor 2025 menuntut usaha kerjasama pada semua peringkat untuk mempromosikan produk pelancongan di Selangor, menekankan kepentingan bekerjasama untuk menjadikan kempen ini berjaya.
