Prasarana Perkukuh Usaha Membangunkan Tenaga Kerja Masa Hadapan Selaras Dengan Agenda TVET Negara

Buletin WarnaBuletin BlstPrasarana Malaysia Berhad (Prasarana), selaku pengendali utama pengangkutan awam dan pemacu agenda mobiliti negara, terus memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam bidang berkaitan rel dan bas.


Sebagai salah satu agensi yang telah diperakui oleh Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) sejak September 2011, Prasarana memperkenalkan program komprehensif yang merangkumi pembelajaran berasaskan teori, latihan di tempat kerja, pensijilan dan pendedahan kepada industri.

Antara program yang ditawarkan termasuk Pengoperasian Bas Elektrik, Penyelenggaraan tren (Rolling Stock), dan Keselamatan Siber, di mana peserta akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf. Kesemua program ini dijadual bermula pada suku keempat tahun 2025 dengan menyasar untuk melatih 1,000 individu yang terdiri daripada lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma, dan graduan universiti dalam tempoh lima (5) tahun.


Selari dengan keperluan industri serta menyokong Dasar TVET Negara 2030 yang menyasarkan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi, Prasarana hari ini memeterai kerjasama strategik bersama Hitachi Rail bagi memperkukuh dan memperluaskan pelaksanaan program TVET di Malaysia.


Sebagai sokongan kepada fokus bersama dalam pembangunan modal insan, satu sesi khas diadakan melibatkan 28 peserta program protégé Hitachi. Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk melakukan sesi networking bersama kepimpinan kanan, lawatan pembelajaran ke pusat kawalan operasi rel dan depoh penyelengaraan.


Program Protégé ialah satu inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melibatkan penyertaan peserta daripada pelbagai latar belakang akademik termasuk kejuruteraan awam dan sains komputer. Peserta menjalani program ini selama tempoh lapan bulan.


Dalam usaha menjayakan agenda nasional, Prasarana menjalin kerjasama jangka panjang bersama Hitachi Rail untuk pembangunan modal insan dan tenaga mahir di Malaysia.


Sejak 1998, Hitachi Rail telah menjadi rakan penting dalam pembangunan rel di Malaysia melalui pengenalan sistem SelTrac™ Communications-Based Train Control (CBTC) untuk Laluan Kelana Jaya serta menaiktaraf sistem isyarat untuk Laluan Monorel, Laluan Ampang dan Laluan Kelana Jaya. Antara pencapaian terkini adalah menyiapkan projek Integrated Control Center (ICC) yang berperanan untuk mengawal operasi tiga laluan rel
utama serta penambahbaikan sistem keselamatan bagi Laluan Ampang.


Berucap dalam majlis yang diadakan di Menara Prasarana, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, “Kerjasama ini bukan sahaja berkisar penambahbaikan operasi dan penyelenggaraan tren, malah ianya tentang pembinaan bakat tempatan dan masa depan industri rel negara.


Selari dengan agenda TVET negara, kita sedang membentuk generasi profesional rel tempatan yang memiliki kemahiran dan pengetahuan bertaraf dunia. Ini adalah langkah penting untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kepakaran dan inovasi rel serantau.”


Turut berkongsi pandangan, Pengarah Urusan Hitachi Rail bagi perniagaan Urban Rail Signalling, Ziad Rizk berkata, “Hitachi Rail berbangga mengukuhkan komitmen kami terhadap pembangunan kemahiran dan inovasi strategik. Kerjasama selama 30 tahun bersama Prasarana serta pelaksanaan teknologi SelTrac™ telah memainkan peranan penting dalam menambah baik operasi rel, dan kami amat teruja untuk terus memajukan industri rel di Malaysia.”


Kerjasama strategik ini hadir tepat pada masa ketika Malaysia sedang giat memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam serta membangunkan ekosistem tenaga mahir yang mampan untuk memenuhi keperluan masa hadapan. Kolaborasi Prasarana – Hitachi Rail ini dijangka menyumbang secara signifikan kepada matlamat negara dalam pembangunan lestari, daya saing ekonomi, dan kepimpinan serantau dalam penyelesaian rel pintar.1 person liked thisComment704 ViewsSave for later

Loading Tender ...

Loading Profile ...