Arkitek Mobiliti Negara: Peranan Dr. Dutt

Di sebalik pelan strategik dan pembangunan sistem mobiliti negara, terserlah seorang individu yang telah lama memupuk minat dalam bidang pengangkutan awam, iaitu sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Hari ini, minat yang pernah kelihatan seperti permainan itu telah berkembang menjadi visi besar yang memberi kesan kepada jutaan rakyat. Segalanya bermula dari detik seorang ayah yang menghadiahkan kereta mainan dan set keretapi mini kepada anak kecilnya.

Inilah kisah Dr. Prodyut Dutt, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana Malaysia Berhad , seorang tokoh yang bukan sahaja merancang masa depan sistem pengangkutan awam negara, malah telah menempuh perjalanan kerjaya yang merentasi sempadan, disiplin dan dekad.

Impian Asal: Menjulang Langit

Siapa sangka, bidang pengangkutan bukanlah impian pertama beliau. Malah, cita-citanya ketika kecil jauh berbeza.

“Saya sebenarnya nak jadi juruterbang pejuang,” katanya sambil ketawa kecil. Kisah-kisah perang seperti Perang Dunia Kedua serta Perang Vietnam banyak mencorakkan imaginasi beliau semasa kecil. Namun, impian itu terhenti apabila beliau mula memakai cermin mata seawal usia 10 tahun.

“Bila rabun, kenalah tukar rancangan,” selorohnya. Dari mengejar langit, beliau berpaling ke bumi dan meneroka bidang kejuruteraan awam, satu keputusan yang kemudian membuka jalan kepada kerjaya yang penuh makna dalam dunia pembangunan infrastruktur dan pengangkutan.

Merentas Jalan, Rel dan Sempadan

Dengan pengalaman lebih 35 tahun, Dr. Dutt merupakan figura penting dalam landskap pengangkutan serantau dan antarabangsa. Beliau menyertai Prasarana pada 25 Ogos 2021, selepas berkhidmat sebagai Independent Advisor for Management and Transportation untuk Asian Development Bank (ADB), memberikan khidmat nasihat dalam pembangunan sistem rel dan bas di Thailand.

Sebelum itu, beliau pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Pembangunan di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Kerjayanya dalam sektor kerajaan Malaysia bermula jauh lebih awal, termasuk sebagai Penolong Pengarah di Unit Perancang Jalan, Kementerian Kerja Raya; Penolong Setiausaha Kanan di Bahagian Pengangkutan Darat dan Maritim, Kementerian Pengangkutan; dan seterusnya sebagai Timbalan Setiausaha Bahagian Ekonomi di Kementerian Kewangan.

Dr. Dutt kemudiannya menyertai ADB selama 11 tahun, dan menamatkan perkhidmatan di sana sebagai Ketua Kumpulan Infrastruktur di pejabat ADB India. Di sana, beliau mengetuai projek-projek dalam sektor pengangkutan dan tenaga, dua komponen utama pembangunan moden di benua Asia.

Sepanjang kerjaya beliau, antara projek penting yang pernah dikendalikan beliau termasuklah konsesi rel bandar seperti PUTRA dan STAR di Kuala Lumpur, pembangunan Pelabuhan Tanjung Pelepas, rangkaian sistem projek metro di bandar-bandar utama India, serta pelbagai inisiatif infrastruktur serantau di bawah ADB.

Latar Pendidikan Bertaraf Dunia

Di sebalik pengalamannya yang luas, Dr. Dutt turut memiliki latar pendidikan yang kukuh dan bertaraf dunia. Beliau memulakan pengajian tinggi di Universiti Malaya, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian).

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Imperial College London, United Kingdom dan menamatkan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengangkutan dengan pencapaian cemerlang (Distinction).

Tidak terhenti di situ, beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang Pengangkutan dari Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat, sebuah institusi yang sentiasa berada dalam senarai universiti terbaik dunia.

Sisi Lain Seorang Perancang Strategik

Di sebalik jawatannya yang tinggi dan memikul  tanggungjawab yang besar ke atas hala tuju strategik Prasarana, Dr. Dutt kekal sebagai seorang yang tenang, merendah diri, mudah didekati dan bersederhana.

Beliau menerima pendidikan awal di St. Paul’s Institution, Seremban dan aktif dalam sukan hoki sewaktu zaman persekolahan. Kini, beliau meluangkan masa lapang dengan membaca buku, khususnya dalam bidang sejarah dan isu global.

“Sekarang saya sedang membaca tentang sejarah moden Iran,” katanya. “Sebelum ini saya kaji sejarah zaman Darurat di Tanah Melayu.”

Dan bila ditanya tentang buku motivasi?

“Saya dah cukup bermotivasi,” jawabnya sambil tersenyum.

Dari Minat Kecil ke Visi Besar

Kisah Dr. Dutt mengingatkan kita bahawa minat zaman kecil, jika terus diasah dan disalurkan dengan betul, mampu berkembang menjadi kerjaya yang penuh bermakna dan memberi sumbangan besar kepada negara. Walaupun impian awalnya untuk menjadi juruterbang pejuang tidak kesampaian, beliau tetap menemui langitnya dengan membantu membina laluan-laluan darat yang lebih baik, lebih inklusif dan lestari untuk jutaan rakyat Malaysia dan negara lain.

Hari ini, beliau terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pengangkutan awam, bukan sahaja sebagai satu sistem perjalanan, tetapi sebagai tulang belakang pembangunan negara dan kehidupan harian rakyat. Dalam meneruskan minat dan misinya, beliau sentiasa berusaha membina sistem pengangkutan yang lebih lestari, efisien dan inklusif untuk manfaat semua.

Dr. Dutt bukan sekadar seorang Ketua Pegawai Operasi Kumpulan. Beliau ialah bukti bahawa visi yang jelas dan semangat yang tidak pernah padam mampu membawa perubahan besar — dari kereta mainan ke strategi negara.

Loading Tender ...

Loading Profile ...