Abah, LRT & Merdeka 

Pada hari ini, abah datang dari kampung ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres. Tujuannya ke sini adalah untuk melihat tempat aku mencari rezeki. Arwah mak sudah lama meninggalkan kami menghadap Ilahi, jadi tangan tua inilah yang membesarkan aku dari kecil hingga sekarang. 

Pagi-pagi lagi aku sudah menunggu abah di Terminal Bersepadu Selatan dengan menaiki LRT. Maklumlah, aku baru mula bekerja dan belum mampu memiliki kenderaan sendiri. Tidak sabar rasanya mahu membawa abah berjalan-jalan menikmati keindahan kota metropolitan. 

Setibanya abah di bandar Kuala Lumpur, kami terus ke stesen LRT. Sampai saja di stesen, gerabak LRT bergerak laju meninggalkan kami. Tiba-tiba, tanpa diduga, abah berlari laju mengejar LRT. Disangkanya hanya ada satu gerabak sahaja. Aku mengejar abah dari belakang sambil berkata, “Abah, tak perlu kejar kereta api. Lepas ni ada lagi gerabak lain yang menyusul,” kataku sambil ketawa. 

“Yeke, nak?” kata abah terpinga-pinga. 

Kami sama-sama ketawa berdekah-dekah. Maklumlah, ini kali pertama abah datang ke Kuala Lumpur dan menaiki LRT. 

“Hebat ye negara kita sekarang, dah maju. Dulu nak ke mana-mana kena jalan kaki, naik motor atau basikal. Tapi sekarang, jangankan LRT, bas elektrik pun dah ada,” kata abah penuh kagum. 

Sepanjang perjalanan menaiki LRT dan MRT, abah bercerita tentang zaman dahulu. Katanya, orang kampung susah mahu ke mana-mana. Jika sakit, nak ke hospital pun susah. Yang ada cuma satu klinik desa di pinggir kampung. Kalau demam, hanya berubat secara tradisional kerana hospital sangat jauh di kawasan bandar. 

“Tapi zaman sekarang, selepas merdeka, banyak hospital sudah dibina di kampung-kampung. Ditambah pula dengan teksi, Grab, LRT, bas dan bas ekspres yang disediakan oleh kerajaan. Tempat pun selesa, tambang pun murah dan mampu milik untuk orang yang tak berkemampuan macam abah ni,” kata abah sambil mengalirkan air mata. 

Aku bertanya, “Kenapa abah menangis?” 

Abah menjawab, “Abah teringat masa kamu kecil dulu, duit kita cukup-cukup makan. Tak mampu nak beli kenderaan sendiri. Hanya ada motor cabuk buruk abah yang hantar kamu ke sekolah. Tapi sekarang, bila kamu dah mula bekerja di Rapid KL, hidup abah dah senang sikit. Dengan kiriman wang dari kamu lah abah dapat datang ke Kuala Lumpur menjenguk kamu.” 

Mendengar cerita abah, aku berjanji akan membahagiakan hidupnya hingga ke nafasku yang terakhir. 

Tahun berganti tahun. Tiba-tiba bahuku ditepuk oleh seseorang. 

“Mama, kenapa termenung? Jomlah kita naik LRT. Tak sabar rasanya Aqib nak jalan-jalan naik LRT,” putera kecilku menegur dan menepuk lembut bahuku. 

Aku tersentak. Kini aku bersama anakku yang berusia enam tahun. Aku sudah berjanji ingin membawanya ke Zoo Negara dengan menaiki pengangkutan awam. Rupa-rupanya aku bukan lagi bersama abah. Baru aku teringat, abah sudah pergi menghadap Ilahi lima tahun lalu. 

Fikiranku melayang jauh, teringat kenangan bersama abah ketika mula-mula kami menaiki LRT. Setitis air mataku mengalir. Rinduku terhadap abah hanya Tuhan saja yang tahu. Walaupun abah sudah lama pergi, kenangan bersamanya tidak akan pernah aku lupakan. 

Kini, walaupun sudah memiliki kenderaan sendiri, aku tetap mengajar anakku menaiki pengangkutan awam. Aku ingin mengajarnya erti merdeka yang sebenar. Merdeka bukan sekadar bebas dari penjajah, tetapi bebas dari hiruk-pikuk kota, bebas dari asap debu jalanan, bebas hidup aman damai, bersatu padu berbilang kaum, serta bebas memberi pertolongan tanpa mengira miskin atau kaya. 

Aku membawa anakku menikmati keindahan kota. Destinasi pertama kami ialah Zoo Negara, kemudian ke Petrosains, Taman Tasik Titiwangsa, dan sudah semestinya destinasi terakhir kami ialah LRT Bandar Tasik Selatan – tempat mula-mula aku membawa abah menaiki LRT. 

Di Terminal Bersepadu Selatan bukan sahaja tempat perhentian bas, malah turut menempatkan LRT, ERL, KTM, teksi dan lain-lain lagi. Banyak perubahan kini. Ada pelbagai kedai runcit, restoran dan kedai pakaian. Di sinilah tempat yang membawa seribu satu kenangan aku bersama abah. 

Untuk abah, kenangan di BTS dan LRT akan ku pahatkan dalam ingatan sampai bila-bila. 

Abah, LRT & Merdeka. Al-Fatihah. 

Nukilan oleh: 
Anak Abah (NAR) 

Loading Tender ...

Loading Profile ...