Bagi kebanyakan orang, hujung minggu adalah masa untuk berehat dan bersantai. Namun, berbeza pula bagi 150 pengikut setia Rapid KL yang memilih untuk mengisi hari mereka dengan aktiviti mencabar di puncak Peak Garden, Setia Alam.

Hiking with Rapid KL 4.0 kembali lagi tahun ini, menghimpunkan komuniti pengikut media sosial Rapid KL dalam suasana penuh semangat dan ukhuwah. Program riadah yang mula diperkenalkan pada tahun 2022 ini terus mendapat sambutan hangat, menjadi platform bagi peserta untuk berinteraksi dan mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti luar.
Para peserta mula berkumpul di Stesen Ara Damansara seawal jam 7.00 pagi sebelum bertolak ke Setia Alam dengan menaiki bas Rapid KL yang disediakan khas untuk program ini. Setibanya di lokasi, acara dimulakan dengan ucapan aluan dan penghargaan oleh Ketua Komunikasi dan Penjenamaan Kumpulan Prasarana, En. Adli Abdul Karim, yang turut mengalu-alukan kehadiran semua peserta dan mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan terhadap inisiatif komuniti Rapid KL.

Menariknya, aktiviti kali ini turut disertai oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria, yang sama-sama menyertai pendakian bersama para peserta.
Lebih daripada sekadar aktiviti hujung minggu, program ini mencerminkan komitmen Rapid KL untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan memperkukuh hubungan dengan komuniti pengguna pengangkutan awam. Ia juga mengangkat mesej bahawa pengangkutan awam bukan sekadar medium untuk ke destinasi, tetapi satu perjalanan yang menyatukan kita semua.
