Bangunan Sultan Abdul Samad: Ikon Lama, Wajah Baharu

Kalau kebelakangan ini feed media sosial dipenuhi gambar bangunan klasik berlatar belakangkan langit Kuala Lumpur, besar kemungkinan itulah Bangunan Sultan Abdul Samad. Selepas hampir setahun menjalani kerja pemuliharaan, bangunan ikonik ini dibuka semula kepada orang awam bermula 2 Februari 2026 dan kemunculan semulanya nyata mencuri perhatian ramai.

Dibina pada tahun 1897, Bangunan Sultan Abdul Samad bukan sekadar cantik dari luaran, tetapi sarat dengan nilai sejarah. Ia pernah menjadi pusat pentadbiran dan kehakiman negara, selain menjadi saksi kepada detik penting seperti laungan Merdeka pada tahun 1957 di hadapannya. Kini, dengan wajah baharu yang lebih kemas dan mesra pengunjung, bangunan ini kembali “hidup” sebagai ruang awam untuk orang ramai menikmati warisan Kuala Lumpur.

Apa Yang Ada Di Dalam Bangunan Sultan Abdul Samad?

Bukan sekadar lokasi ambil gambar dari luar, pengunjung kini boleh masuk dan meneroka bahagian dalaman bangunan yang sebelum ini terhad kepada urusan tertentu sahaja.

Antara tarikan di dalam bangunan ialah galeri pameran dan Kuala Lumpur City Gallery yang memaparkan sejarah Kuala Lumpur, dokumen arkib serta elemen interaktif. Ruang dalaman bersejarah seperti koridor dan lengkungan pintu asal turut dikekalkan, menjadikan pengalaman berada di dalam bangunan ini terasa lebih autentik. Pencahayaan semula jadi serta seni bina klasiknya juga menjadikan lokasi ini antara spot fotografi dan OOTD yang sering menjadi tumpuan.

Menariknya, Bangunan Sultan Abdul Samad kini turut menempatkan beberapa kafe tempatan terkenal. Pengunjung boleh singgah menikmati pastri dan kopi di Bakehouse by KLCG yang menghadap Dataran Merdeka, berehat sambil menikmati dessert di Gula Camca, atau mencuba kopi dan hidangan ringkas tempatan di Bungkus Kaw Kaw. Lepas berjalan-jalan dan melawat galeri, boleh terus lepak minum kopi dalam bangunan warisan; gabungan sejarah dan gaya hidup moden.

Waktu lawatan galeri dibuka sekitar jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang dan kemasukan adalah percuma untuk fasa awal pembukaan.


Guna Pengangkutan Awam Untuk Ke Sana

Untuk ke Bangunan Sultan Abdul Samad, pengunjung boleh menaiki tren Laluan Kelana Jaya atau Laluan Ampang/Sri Petaling dan turun di Stesen Masjid Jamek. Dari stesen, hanya kira-kira lima hingga tujuh minit berjalan kaki untuk sampai ke lokasi.

Jika ingin merasai pengalaman city ride, pengunjung juga boleh menaiki bas seperti laluan 180 dan 780 yang berhenti berhampiran kawasan Masjid Jamek atau Dataran Merdeka.

Menggunakan pengangkutan awam bukan sahaja memudahkan perjalanan tanpa perlu memikirkan tempat letak kereta, malah membantu mengelakkan kesesakan di pusat bandar. Ia juga lebih jimat, mesra alam dan sesuai untuk trip santai sama ada secara solo, bersama rakan atau keluarga. Dari satu lokasi warisan ke lokasi lain, perjalanan menjadi lebih mudah, selesa dan santai.

Loading Tender ...

Loading Profile ...