Abang Misai: Wajah Mesra Di Nadi Mobiliti Kota

Setiap hari, di tengah hiruk-pikuk Stesen Pasar Seni, kelancaran perjalanan penumpang dijaga oleh individu yang sentiasa bersedia iaitu PB Muhammad Nur Syazwan, atau lebih dikenali sebagai “Abang Misai”.

Sebagai anggota polis bantuan Prasarana, rutin Abang Misai bukan sekadar memantau keadaan stesen. Beliau sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan keselamatan penumpang, terutamanya ketika waktu puncak apabila pergerakan manusia berada pada tahap tertinggi.

Daripada pemantauan platform, pengurusan aliran penumpang, hinggalah kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan, peranannya menuntut ketelitian dan tindakan pantas.

Pengalaman lapangan yang luas menjadikan Abang Misai lebih peka terhadap pelbagai kemungkinan insiden, termasuk gangguan keselamatan dan kecemasan yang memerlukan respons segera. Namun, apa yang membezakan beliau ialah pendekatan tenang, berhemah dan berperikemanusiaan dalam setiap situasi, menjadikan penumpang berasa lebih selamat dan dilindungi.

Wajahnya yang mesra dan mudah dikenali malah sering disamakan dengan pelakon veteran A. Galak, menjadikan beliau satu ikon tidak rasmi Stesen Pasar Seni.

Kehadirannya mencerminkan hakikat bahawa di sebalik sistem rel yang kompleks, mobiliti bandar digerakkan oleh manusia yang berdedikasi.

Abang Misai membuktikan bahawa keselamatan bukan sekadar prosedur, tetapi satu tanggungjawab yang dilaksanakan dengan hati. Dan di situlah nilai sebenar Rapid KL terserlah, apabila rakyat, roda dan rel bergerak seiring.

Loading Tender ...

Loading Profile ...