Prasarana Sertai Lawatan Tapak Projek Naik Taraf Perhentian Bas di Pulau Pinang

Prasarana Malaysia Berhad dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menyertai sesi lawatan tapak pada 10 Julai 2026 bagi meninjau projek pembinaan perhentian bas berbumbung yang telah siap dilaksanakan di kawasan Pulau Pinang.

Prasarana yang diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria, bersama-sama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang diwakili oleh Datuk Bandar MBPP, YBhg. Dato’ Ir. Rajendran P. Anthony dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, Ir. Cheah Chin Kooi, telah meninjau projek perhentian bas di Lebuh Carnarvon dan Jalan Sultan Ahmad Shah.

Projek yang dilaksanakan oleh MBPP dengan peruntukan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ini berjaya menukar 97 tiang perhentian bas sedia ada kepada perhentian bas berbumbung yang berjaya disiapkan sepenuhnya mengikut jadual bermula pada 1 April 2026 sehingga 30 Jun 2026.

Daripada jumlah tersebut, 20 unit merupakan perhentian bas jenis tempered glass (saiz besar) yang dibina di lokasi yang mempunyai jumlah pengguna yang lebih tinggi, manakala 77 unit lagi adalah perhentian bas mini (saiz kecil) yang direka khas untuk lokasi dengan ruang bahu jalan yang terhad.

Pelaksanaan projek ini mencerminkan usaha berterusan pelbagai pihak dalam meningkatkan kualiti kemudahan pengangkutan awam serta keselesaan pengguna. Bagi melengkapkan kemudahan sedia ada, setiap perhentian bas akan dilengkapi dengan papan maklumat laluan bas Rapid Penang dan destinasi hentian seterusnya. Pemasangan papan maklumat tersebut dijadualkan siap sepenuhnya menjelang September 2026.

Loading Tender ...

Loading Profile ...