Jalan-Jalan : Bila tangan menjadi suara di deaf café

Pernah tak terfikir macam mana rasanya ‘bercakap’ tanpa menggunakan suara?

Anda mungkin tak pernah terfikir sehinggalah berpeluang singgah ke Deaf Cafe.

Melangkah masuk, bukanlah menu atau hiasan kafe jadi perhatian, tetapi papan tanda di pintu masuk yang menyatakan bahawa kafe ini dikendalikan oleh komuniti pekak.

Ini bermakna, tiada panggilan suara untuk memanggil atau bertanya tentang pesanan.

Di sini, tangan menjadi bahasa.

Pada awalnya, memang sedikit kekok. Tangan terkial-kial cuba beri isyarat, entah betul atau tidak. Tetapi pelayan tunduk tanda faham.

Bukan Sekadar Datang Makan

Kafe ini sangat minimal dan hanya terdapat empat buah meja menjadikan cafe ini tempat yang begitu tenang untuk menikmati masa bersendirian.

Kafe ini menghidangkan sajian barat   seperti  sandwich, pasta, salad segar dan smoothies. Pilihan pencuci mulut tidak kurang hebatnya.

Menu pilihan saya

Antara menu yang sempat saya cuba, Chicken Meatball Arabbiata Pasta terus menarik perhatian dengan rasa pedas dan berempah yang kuat, manakala bebola ayamnya lembut dan cukup mengenyangkan. Memang patut dicuba bagi penggemar pasta.

Air Coklat pula tampak biasa tetapi surprisingly rasa coklat yang pekat dan berkrim. Memang tak kedekut coklat!

Sebelum berangkat pulang, Pancake Nutella Pisang menjadi pilihan saya sebagai pencuci mulut. Pancake yang lembut dilimpahi Nutella , dipadankan pula dengan hirisan pisang yang memberikan keseimbangan rasa manis dalam setiap suapan.

Makan sambil beramal

Bukan makanan sahaja yang menarik perhatian. Kafe ini turut menjual pelbagai barangan aksesori buatan tangan daripada komuniti pekak seperti cincin, aksesori manik Miyuki, anting-anting, gelang dan tali hiasan telefon.

Ada juga baju-T dengan rekaan bertemakan budaya komuniti pekak serta beg jinjing daripada kain batik.

Jadi, kunjungan ke sini bukan sekadar mengisi perut yang kosong. Dalam masa yang sama, kita berpeluang mengenali komuniti pekak dengan lebih dekat dan melihat dunia mereka melalui bahasa isyarat.

Pembelian barangan ini secara tidak langsung menjadi tanda sokongan dan sumbangan kita kepada komuniti ini.

Mungkin sepasang anting-anting kelihatan seperti aksesori biasa bagi kita, namun di sebaliknya tersimpan usaha, kemahiran dan nilai yang besar buat pembuatnya.

Bagaimana Nak ke Sana?

Laluan Kelana Jaya

Stesen Asia Jaya

  • Turun di Asia Jaya dan naik bas PJ01 (Mahsa University – Timur). Dari situ, berjalan kaki lebih kurang 2 minit untuk sampai ke kafe.

Stesen Universiti

  • Turun di kawasan Universiti dan naik bas T789 yang akan berhenti di Perpustakaan UM. Kemudian, berjalan kaki lebih kurang 2 minit untuk sampai ke Mahsa Avenue.

Stesen Taman Paramount

  • Turun di Stesen Taman Paramount dan naik bas T790, PJ02, T786 atau PJ01 yang akan berhenti di Mahsa Avenue. Dari situ, Deaf Cafe terletak di Blok B, Tingkat 2.

Deaf Cafe terletak di Blok B, Tingkat 2 Mahsa Avenue.

Loading Tender ...

Loading Profile ...