Nama Amir Hamdan sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan warga Prasarana. Beliau memulakan kerjayanya di sini sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kewangan (Perbendaharaan & Bajet) pada Febuari 2019, dan sejak itu, perjalanan karier beliau terus melonjak naik. Pada tahun 2022, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Rail.

Sepanjang tempoh tersebut, Amir membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dengan membawa syarikat keluar daripada krisis operasi dan berjaya mencatatkan jumlah perjalanan penumpang tertinggi dalam sejarah Rapid Rail. Hasil kerja keras, visi yang jelas dan komitmen tanpa kompromi, beliau kini diberi tanggungjawab yang lebih besar sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana bermula 1 Februari 2025.
Untuk edisi Bersama Kempimpinan Prasarana kali ini, Warna menemu bual En Amir Hamdan bagi berkongsi aspirasi dan harapannya dalam usaha memantapkan lagi operasi rel dan bas agar terus kekal relevan dan memberi nilai terbaik kepada rakyat.
S: Apakah Yang Ingin Anda Lakukan Untuk Meningkatkan Kecekapan Kakitangan Khususnya Mereka Yang Terlibat Secara Langsung Dengan Operasi?
A: Alhamdulillah segala pujian kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan yang tidak terhitung buat kita semua. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi Prasarana di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya untuk mengepalai operasi rel dan bas sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi).
Antara fokus yang ingin saya berikan penekanan adalah memastikan semua kakitangan melakukan kerja dengan betul. Saya ingin berkongsi sedikit nasihat buat semua mengenai bagaimana pekerjaan kita ini adalah sebahagian daripada kehidupan.
Kerja menjadi ibadah apabila kita niatkannya semata-mata kerana Allah SWT. Oleh yang demikian, niat itu haruslah betul, dan kita mestilah melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin. Jika kita betul-betul fokus dalam menjalankan tanggungjawab, saya yakin Tuhan akan sentiasa merahmati dan mempermudahkan urusan kita.
S: Bagaimana En Amir Melihat Tugas Kita Sebagai Satu Ibadah?
A: Di Prasarana, tugas kita bukan sekadar pekerjaan, ia adalah National Service. Kita berdiri di barisan hadapan dalam memastikan ribuan pengguna, terutamanya di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan, dapat bergerak dengan selamat, mudah dan selesa. Setiap hari, kita memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka, dari saat mereka melangkah keluar dari rumah hingga tiba ke destinasi. Ini adalah tanggungjawab besar yang kita pikul dengan penuh semangat dan rasa bangga.
Oleh itu, marilah kita melihat pekerjaan ini sebagai satu ibadah yang mulia. Dengan niat yang ikhlas dan usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, setiap tindakan kita menjadi asbab rahmat Tuhan, bukan hanya untuk mereka yang kita bantu, malah untuk diri kita sendiri juga.
Saya memetik kata-kata Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W yang bersabda;
خَيْرُالناسِأَنْفَعُهُمْلِلناسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Riwayat Ahmad)
Jelas hadis ini mengingatkan kita bahawa kehebatan seseorang di sisi Allah bukan diukur dengan pangkat atau harta, tetapi sejauh mana dia memberi manfaat kepada orang lain. Kebaikan itu boleh dipraktikkan dalam pelbagai bentuk.
Sebenarnya, kita mampu menggembirakan ramai orang melalui perkhidmatan yang efisien, lancar dan memberikan pengalaman perjalanan terbaik kepada penumpang. Sebagai seorang Muslim, kita memikul tanggungjawab membawa kebaikan dan keberkatan kepada ummah melalui setiap tindakan, walau sekecil mana pun ia. Bahkan, dengan hanya sebuah senyuman atau sapaan mesra seperti bertanya khabar, saya yakin pelanggan akan berasa dihargai dan gembira.

S: Apakah Fokus Utama En Amir Sebagai GCOO Yang Baharu?
Fokus utama saya adalah untuk memastikan setiap sasaran KPI Rapid Bus dapat dicapai dengan cemerlang, melalui siri penambahbaikan yang menyeluruh dan berimpak tinggi.
Saya percaya tiada tempat yang sempurna — bahkan di rel, walaupun kita berjaya mencapai banyak kejayaan sepanjang tiga tahun saya mengemudi, masih ada lagi ruang untuk diperbaiki dalam usaha untuk menjadi lebih baik.
Kejayaan bukan titik akhir, tetapi asas untuk kita terus maju ke hadapan. Maka, marilah kita bersama-sama bangkit, tingkatkan kualiti kerja kita setiap hari, dan buktikan bahawa Rapid Bus juga mampu mencipta kejayaan yang membanggakan.
Selain itu, saya bertekad untuk memastikan mutu layanan petugas barisan hadapan, khususnya dari segi komunikasi dan perkhidmatan, terus dipertingkatkan. Kualiti interaksi dengan pengguna adalah cerminan reputasi organisasi kita. Dalam masa yang sama, penyampaian maklumat yang jelas, pantas dan tepat melalui saluran komunikasi seperti media sosial, termasuk pengurusan krisis, juga akan menjadi keutamaan saya. Ini penting agar para pengguna sentiasa mendapat maklumat yang tepat, seterusnya meningkatkan keyakinan dan kepuasan mereka terhadap perkhidmatan kita.
S: Bagaimana Persiapan Anda Untuk Menghadapi Cabaran Ke Depan?
A: Saya berazam untuk menyahut cabaran ini secara positif, sebagai satu peluang untuk menilai sejauh mana saya mampu memberikan sumbangan yang bermakna kepada syarikat.
Setiap cabaran datang dengan karakter dan keunikan tersendiri. Dalam portfolio baharu ini, khususnya melibatkan operasi bas, saya perlu terlebih dahulu memahami isu-isu yang dihadapi secara menyeluruh. Ini penting kerana setiap individu mempunyai corak pemikiran, pendekatan kerja, serta sasaran dan legasi yang berbeza.
Sebagai seorang pemimpin, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk bersikap adil, memahami keperluan dan pendekatan setiap pihak, termasuk menghormati legasi yang telah lama terbina. Dengan itu, saya amat mengharapkan sokongan dan doa daripada seluruh warga kerja Prasarana, agar segala inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya — demi meningkatkan jumlah penumpang dan mencapai sasaran sifar kemalangan dalam operasi kita.
