Dari Bintang Filem ke Dunia Korporat: Datuk Shaharon Berazam Tingkatkan Martabat Polis Bantuan 

Bagi peminat setia drama Gerak Khas, nama ASP Saiful pasti tidak asing lagi. Watak yang dibawakan dengan penuh karisma oleh Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif telah meninggalkan kesan mendalam dalam dunia hiburan tanah air. Namun, di sebalik lakonan yang mantap, tersimpan kisah inspirasi tentang dedikasi beliau terhadap tugas sebagai anggota polis dan kini, sebagai pemimpin dalam dunia korporat. 

Minat Kepolisan Sejak Bangku Sekolah 

Dilahirkan di Taiping, Perak, minat Datuk Shaharon terhadap dunia kepolisan sejak zaman persekolahan. Beliau menyertai pasukan kadet polis dan terus mengekalkan semangat itu sehingga menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kerjaya lakonan beliau bermula pada tahun 1992 sebagai detektif dalam filem Pemburu Bayangan. Dengan kebenaran bersyarat daripada PDRM, beliau aktif berlakon di luar waktu bertugas. Walaupun sibuk di set penggambaran, beliau tetap komited terhadap tanggungjawab sebagai pegawai polis. “Bila kita ada minat, soal penat atau letih tak timbul,” katanya.  

Watak ASP Saiful dalam Gerak Khas bukan sekadar lakonan, ia mencerminkan keperibadian sebenar beliau sebagai pegawai polis yang tegas, berdisiplin dan berintegriti. Watak tersebut kekal relevan dan dikenang sehingga hari ini. 

Peralihan ke Dunia Korporat 

Selepas membintangi lebih 15 filem dan 40 drama, Datuk Shaharon bersara wajib daripada PDRM pada Ogos 2022. Beliau kemudiannya menyertai Prasarana Malaysia Berhad sebagai Perunding Keselamatan Kumpulan pada tahun 2024. 

Pada 24 Februari 2025, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Sekuriti Kumpulan Prasarana satu tanggungjawab besar yang merangkumi keselamatan aset, kakitangan, dan jutaan penumpang pengangkutan awam negara. “Rentak dunia korporat memang laju, tapi saya sukakan cabaran,” ujar beliau. Pengalaman hampir empat dekad dalam PDRM menjadi aset penting dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. 

Kepimpinan Berteraskan Pengalaman 

Gabungan latar belakang kepolisan dan seni menjadikan gaya kepimpinan beliau unik. Beliau menekankan komunikasi berkesan, disiplin tinggi, dan semangat kekeluargaan dalam pasukan sekuriti. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan moral pasukan, malah membentuk budaya kerja yang positif dan berintegriti. 

Visi dan Harapan 

Datuk Shaharon berazam untuk menjadikan Polis Bantuan Prasarana sebagai contoh terbaik di Malaysia. Beliau percaya bahawa latihan yang mantap, kelengkapan yang mencukupi, dan rasa bangga terhadap peranan sebagai anggota keselamatan adalah kunci kejayaan pasukan. 

Sumbangan dan Pengiktirafan 

Selain sebagai pegawai polis dan pelakon, beliau juga berkebolehan sebagai penulis skrip, pengarah drama, pengacara majlis, DJ radio dan juru runding dalam krisis Al-Maunah. Sepanjang kerjaya, beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan beberapa darjah kebesaran dan pingat  seperti DPSM, DJMW, PJPN, PSPP, PCM, SMP, PPP dan AMN. Beliau juga menerima tiga kali  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di samping 48 surat penghargaan. 

Pesanan untuk Generasi Muda 

“Di mana pun kita berada, kita kena bersyukur dan tunaikan tanggungjawab kepada Allah dan sesama manusia,” pesan beliau. Harapan beliau agar pengakhiran hidupnya kelak diberkati dengan Husnul Khotimah — penutup yang baik bagi perjalanan hidup yang penuh khidmat dan dedikasi. 

Loading Tender ...

Loading Profile ...