Sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memupuk semangat patriotik di kalangan rakyat dengan meluncurkan Denyut Nadi Merdeka – sebuah program yang membawa mesej kebersamaan melalui pengangkutan awam.

Acara peluncuran yang diserikan dengan kehadiran YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHM 2025 bermula dari Stesen Bangsar ke Stesen Pasar Seni. Beliau bukan sahaja merasmikan majlis, malah sempat bersama penumpang, mengedarkan Jalur Gemilang, serta turut serta dalam persembahan kebudayaan dan lagu rakyat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, berkongsi bahawa inisiatif ini melangkaui sekadar menyediakan perjalanan yang lancar – ia mencerminkan komitmen Prasarana untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai nadi kebersamaan rakyat dan simbol cinta pada negara.
Bagi menyokong sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, semua perkhidmatan rel Rapid KL, BRT Laluan Sunway, beberapa laluan bas, serta zon Rapid KL On-Demand (ROD) terpilih akan beroperasi 24 jam tanpa henti dari 6 pagi, 30 Ogos hingga 11.30 malam, 31 Ogos. Bukan itu sahaja, 96 bas perantara percuma juga disediakan untuk memudahkan orang ramai ke Dataran Putrajaya.
Majlis ini turut mengumumkan kolaborasi strategik antara Rapid KL dengan LOCCO untuk acara Keretapi Sarong 2025, yang bakal berlangsung pada 13 September 2025. Acara penuh warna-warni ini akan diadakan di lapan (8) buah stesen tren Rapid KL dengan pelbagai aktiviti budaya dan aktivasi mini khas bagi meraikan kepelbagaian rakyat Malaysia.
Melalui Denyut Nadi Merdeka, Prasarana bukan sekadar menghubungkan destinasi, tetapi menyatukan hati rakyat dalam semangat kemerdekaan.
