Dr. Ahmad Marzuki Galas Tanggungjawab Besar Mengemudi Sistem Rel Rentas Sempadan Antarabangsa

Menguruskan sebuah projek mega adalah satu tugas dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh pengemudinya. Apatah lagi projek RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura merupakan satu projek antarabangsa yang menjadi perhatian dunia.

Projek mega ini bukan sekadar memberi manfaat kepada hampir satu pertiga daripada sejuta warga Malaysia yang bekerja di Singapura yang berulang – alik setiap hari, malah ia bakal menjana dan menggerakkan ekonomi kedua – dua negara.

Bagi memastikan kejayaan projek ini siap seperti yang dirancang, amanah dan tanggungjawab ini terletak di atas bahu Dr. Ahmad Marzuki Bin Ariffin atau lebih mesra disapa dengan panggilan Dr Marzuki.

Beliau bukanlah nama asing di dalam industri pengangkutan. Sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RTS Operations Pte Ltd (RTSO), anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini pernah berkhidmat dengan syarikat tempatan seperti Scomi dan turut menimba pengalaman di peringkat antarabangsa bersama Bombardier (kini Alstom) serta firma perunding terkenal, Halcrow. Dari kerja-kerja kontraktor kecil hingga ke peranan utama dalam syarikat OEM dan perundingan, beliau memahami industri ini dari pelbagai sudut.

Sebagai CEO RTSO, syarikat usaha sama antara Prasarana RTS Sdn Bhd (PROSPER) dari Malaysia dan SMRT RTS Pte Ltd dari Singapura, beliau kini menerajui operasi sistem pengangkutan rel yang strategik bagi menghubungkan kedua-dua negara dengan lebih efisien.

Dilantik sebagai CEO RTSO pada 1 Januari 2023, Dr. Ahmad Marzuki menerima tanggungjawab ini dengan rasa teruja dan penuh cabaran. Projek mega rentas sempadan ini bukan sekadar peluang biasa—ia adalah satu usaha mencipta sejarah bagi Malaysia dan Singapura!

Peranan RTS Link bukan hanya untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, ia juga bakal mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan serta meningkatkan titian budaya dan sosial di antara dua negara.

RTSO telah mencapai beberapa pencapaian besar—fasa perolehan, reka bentuk, dan pembinaan telah berjaya diselesaikan. Kini, fokus beralih kepada persiapan operasi dan penyelenggaraan bagi memastikan semuanya berjalan lancar sebelum pembukaan rasmi.

Sebagai CEO, Dr. Ahmad Marzuki melihat RTSO sebagai pemacu utama dalam memastikan projek ini siap dan beroperasi mengikut jadual. Menguruskan projek dan operasi melibatkan dua negara dengan budaya kerja yang berbeza bukan tugas mudah, tetapi dengan pasukan yang kukuh, cabaran ini pasti dapat diatasi.

“Apabila projek ini mula beroperasi, saya mahu RTSO menjadi contoh terbaik bagi operasi tren rentas sempadan yang moden, cekap, dan lancar,” kata Dr. Ahmad Marzuki dengan penuh keyakinan.

Beliau juga menambah, “Saya mahu RTSO bukan sahaja berjaya di Malaysia tetapi juga menjadi penanda aras bagi Prasarana untuk melangkah ke pasaran antarabangsa.”

Jadi, buat semua warga RTSO—anda adalah sebahagian daripada sejarah ini. Teruskan usaha dan bersama-sama kita jadikan RTS Link sebagai kebanggaan Malaysia dan Singapura!

Loading Tender ...

Loading Profile ...