Eksplorasi Merdeka Rapid KL 4.0: 700 Peserta Rai Semangat Kemerdekaan

Suasana Stesen Putra Heights meriah dengan sorakan, gelak tawa dan semangat kemerdekaan pada 5 September lalu apabila seramai 700 peserta berkumpul bagi menjayakan Eksplorasi Merdeka Rapid KL (EMRKL) 4.0, sebuah program anjuran Rapid KL menerusi Jabatan Komunikasi & Penjenamaan Kumpulan yang menggabungkan pengalaman pengangkutan awam dan aktiviti komuniti.

Bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, edisi keempat EMRKL mengajak peserta meneroka pelbagai lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur dengan menggunakan rangkaian rel dan bas Rapid KL. Pengalaman ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menikmati perjalanan menggunakan pengangkutan awam, malah membolehkan mereka mengenali sejarah serta menghayati semangat kemerdekaan negara dengan cara yang lebih santai dan menyeronokkan.

Pemilihan Stesen Putra Heights sebagai lokasi utama turut melengkapkan konsep eksplorasi, memandangkan stesen ini merupakan salah satu stesen pertukaran utama yang menghubungkan Laluan Kelana Jaya dengan Laluan Ampang / Sri Petaling. Edisi kali ini juga lebih bermakna apabila penganjurannya bertepatan dengan ulang tahun ke-30 Laluan Ampang / Sri Petaling, yang turut dikenali sebagai laluan LRT pertama di Malaysia.

Sesi pelepasan program disempurnakan oleh Dr. Prodyut Dutt, Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan; En. Syahrul Azmir Ahmad Zaki, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus; En. Mohd Ariffin Idris, Ketua Laluan Shah Alam; serta En. Adli Abdul Karim, Ketua Jabatan Komunikasi & Penjenamaan Kumpulan.

Sepanjang eksplorasi, peserta menyertai pelbagai aktiviti interaktif di setiap checkpoint termasuk permainan tradisional seperti terompah gergasi,  gasing, aktiviti anyaman mengkuang dan kuiz yang berkaitan sejarah negara serta pekhidmatan Rapid KL.

Pendekatan santai menerusi aktiviti ini menjadikan pengalaman meneroka Kuala Lumpur serta mengenali sejarah negara dan pengangkutan awam lebih menarik kepada peserta, selain membuka ruang untuk mereka berinteraksi dan mencipta kenangan bersama tanpa mengira usia dan latar belakang.

Bagi Mohamad Azam Zainordin, 27, daripada Jabatan Quality Assurance, Laluan Shah Alam, penyertaan dalam EMRKL 4.0 merupakan salah satu caranya menzahirkan sokongan terhadap syarikat.

“Aktiviti dan permainan di setiap checkpoint memang sangat menarik. Saya juga dapat mengasah pengetahuan dan kefahaman saya mengenai perkara-perkara berkaitan negara. Yang paling menyeronokkan, ia mengembalikan nostalgia dan memori dengan permainan-permainan yang kita main semasa zaman kanak-kanak dulu,” kongsinya.

EMRKL 4.0 turut menyediakan hadiah pemenang keseluruhan bernilai RM13,000, sekali gus menambahkan lagi keterujaan peserta sepanjang program.

Bagi salah seorang juara edisi kali ini, Amarul Naki Bin Ahmad, 48, penyertaannya bermula selepas mengetahui mengenai program tersebut menerusi media sosial Rapid KL.

“Selain hadiah utama, ada 40 cabutan bertuah yang disediakan dan sesiapa yang tak sempat membawa pulang hadiah utama, masih dapat merasai cabutan bertuah. Tidaklah pulang dengan tangan kosong. Saya juga harap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang” ujar Amarul.

Menerusi EMRKL 4.0, Rapid KL terus komited mendekati masyarakat melalui pendekatan yang santai, inklusif dan bermakna, sekali gus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian.

Loading Tender ...

Loading Profile ...