Stesen Wanita Warnai Sambutan Keretapi Sarong Edisi ke-10

Keretapi Sarong 2026 buat julung kalinya memperkenalkan inisiatif khas untuk komuniti wanita dengan memilih Stesen Titiwangsa sebagai salah satu lokasi bagi pelaksanaan program ini.

Langkah ini bukan sekadar tambahan pengisian, sebaliknya tercetus daripada permintaan komuniti wanita yang mahu meraikan sambutan tersebut dengan cara tersendiri.

Inisiatif ni diwujudkan bagi memudahkan pergerakan mereka, selain memastikan pengalaman yang lebih selesa dan selamat sepanjang acara berlangsung. Pada masa yang sama, ia memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dan menikmati kemeriahan bersama wanita lain tanpa rasa segan atau kekok dalam kesesakan.

Menurut Pengurus Stesen Titiwangsa, Muhammad Adib Aiman bin Azmi, 28, pemilihan stesen berkenaan sebagai Stesen Wanita bukanlah suatu kebetulan. Kedudukannya yang strategik sebagai hab pertukaran utama bagi Laluan Ampang/Sri Petaling dan Monorel memudahkan lebih ramai wanita dari seluruh pelosok Lembah Klang mengakses acara tersebut.

Antara pengisian yang disediakan khas untuk peserta wanita di Stesen Titiwangsa termasuk persembahan tarian kebudayaan, pertunjukan fesyen yang mengetengahkan keunikan pakaian tradisional, sesi kuiz serta joget lambak yang turut memeriahkan suasana sebelum para peserta bergerak beramai-ramai menuju ke lokasi akhir, iaitu Raintree Plaza, Tun Razak Exchange.

Sementara itu, salah seorang peserta yang ditemui Hidayu Hassan, 43,  turut berkongsi mengenai idea memperkenalkan Stesen Wanita adalah sangat menarik, sama seperti konsep koc khas untuk wanita yang dilaksanakan di LRT dan MRT.

“Penumpang wanita tidak perlu berhimpit bersama lelaki, boleh bergerak dengan lebih selesa, sama ada yang membawa anak kecil, datang seorang diri, ibu bersama anak perempuan, atau kumpulan kawan-kawan wanita yang mahu meraikan sambutan Hari Malaysia bersama dalam suasana yang lebih tenang dan mesra,” kongsi Hidayu yang turut hadir bersama keluarganya datang jauh dari Johor.

Rapid KL amat berbesar hati dipilih sebagai Rakan Mobiliti rasmi program ini, kerana pengangkutan awam bukan sekadar penghubung destinasi, sebaliknya turut menjadi ruang bersama yang mempertemukan rakyat pelbagai kaum, budaya dan latar belakang.

Diharapkan kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang, seiring hasrat menjadikan pengangkutan awam sebagai penghubung utama kepada aktiviti-aktiviti sihat dan positif dalam kalangan masyarakat.

Loading Tender ...

Loading Profile ...