
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berbangga menjadi hos kepada Forum Ilmuwan MADANI (FIM) Siri 6 yang telah berlangsung pada 4 Jun 2025 di Menara Prasarana, Petaling Jaya. Forum yang dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini membuka ruang wacana ilmiah yang mempertemukan tokoh dasar, pelaksana industri dan akademik untuk membincangkan masa depan sektor pengangkutan awam negara secara menyeluruh.
Bertemakan “Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam”, forum ini telah dikendalikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; dan Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Sebagai hos, Prasarana memainkan peranan penting bukan sahaja dari sudut fasiliti, malah turut mengetengahkan peranan strategiknya dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam negara. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, membuka forum dengan pembentangan menyeluruh mengenai kejayaan dan pencapaian terkini Prasarana – termasuk peningkatan jumlah penumpang harian, pengurangan gangguan perkhidmatan serta pelaksanaan inovasi seperti Rapid On Demand (ROD). Beliau turut berkongsi hala tuju masa depan organisasi dalam memperkasakan pengalaman pengguna dan penyampaian perkhidmatan.
Usaha pembaharuan ini turut mendapat perhatian dan pujian daripada YAB Perdana Menteri, yang menyifatkan pendekatan Prasarana dan Kementerian Pengangkutan sebagai langkah progresif. Beliau menegaskan bahawa transformasi sektor pengangkutan tidak boleh hanya bergantung kepada peruntukan kewangan, tetapi memerlukan keberanian politik, integriti pengurusan dan kecekapan pelaksanaan agar manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat.
Dalam perbincangan yang menyusul, pelbagai isu dan cadangan diketengahkan – termasuk keberkesanan subsidi pas My50, pelaksanaan dasar ‘road-to-rail’, dan keperluan untuk penyelarasan antara perancangan bandar serta sistem pengangkutan menerusi cadangan penubuhan Lembaga Pengangkutan Bandar. Wakil komuniti OKU pula mengetengahkan cabaran akses inklusif, manakala peserta lain mencadangkan pembinaan perumahan mampu milik berhampiran stesen LRT dan MRT bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Penganjuran FIM Siri 6 sekali lagi mengangkat peranan Prasarana bukan sekadar sebagai pengendali pengangkutan awam, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam membentuk dasar dan masa depan negara. Forum ini memperlihatkan bagaimana gabungan ilmu, data dan pengalaman lapangan dapat menyumbang kepada pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih mampan, inklusif dan berpaksikan rakyat.