Keberanian yang Membawa ke Kokpit

Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berada di kokpit tren, apatah lagi memandu ratusan penumpang setiap hari. Namun satu keputusan spontan untuk mencuba nasib di Prasarana pada 2018 mengubah seluruh perjalanan hidup Farah Umira Abd Halim.

Berlatarbelakangkan kerja pentadbiran, Farah Umira pada awalnya menyangka tugasnya hanyalah di pejabat. Sebaliknya, dia dipilih menjalani latihan sebagai pemandu monorel; satu tanggungjawab besar yang langsung tidak pernah dibayangkan, lebih-lebih lagi tanpa asas teknikal.

Sebagai satu-satunya wanita dalam kumpulan latihan, rasa takut dan ragu menyelubungi dirinya. Selama tiga bulan latihan intensif, Farah Umira perlu mempelajari sistem elektronik, operasi tren dan komunikasi kawalan, sambil menyesuaikan diri dalam bidang yang sinonim dengan lelaki. Sokongan rakan sekerja dan penyelia menjadi kekuatan untuk terus bertahan.

Selepas beberapa tahun berlalu bersama Rapid Rail, Farah Umira kini mengendalikan monorel empat gerabak bagi laluan KL Sentral–Titiwangsa, termasuk ketika waktu puncak dengan ratusan penumpang. Setiap perjalanan menuntut fokus maksimum, pematuhan prosedur keselamatan dan kepekaan tinggi dalam memastikan keselamatan awam.

Sebagai pemandu wanita pertama monorel empat gerabak di Malaysia, Farah Umira berdepan pandangan skeptikal, namun memilih membuktikan kemampuan melalui kerja. Tidak sedikit penumpang yang terkejut melihatnya berseragam pemandu, sekali gus memecahkan persepsi tentang peranan wanita dalam operasi rel.

Bagi Farah Umira, membawa penumpang bukan sekadar pekerjaan, tetapi amanah. Dalam industri yang masih didominasi lelaki, keberaniannya mencuba membuktikan bahawa langkah kecil mampu membuka laluan besar… termasuk ke kokpit dan ke rel sejarah negara.

Loading Tender ...

Loading Profile ...