RTS Operations Pte Ltd (RTSO) ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja melibatkan sistem rel bagi projek RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru – Singapura berjalan dengan lancar dan telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 50%.
Kerja-kerja pemasangan trek landasan telah dimulakan pada bulan September 2024 lalu, setelah kebenaran untuk memasuki Depoh Wadi Hana diperoleh. Jajaran landasan sepanjang kira-kira 5.3 km bermula dari depoh yang menghubungkan terus ke laluan utama iaitu di Stesen Bukit Chagar, jejambat landasan dan bersambung sehingga ke Stesen Woodlands North.
Pemasangan kerja-kerja landasan yang bermula di Depoh Wadi Hana berjalan mengikut jadual dengan lebih 65% kerja telah disiapkan. Skop ini meliputi pemasangan pengalas landasan, landasan rel dan kerja mengikat dua komponen ini dengan klip pengikat. Langkah seterusnya, kami menjangkakan kerja landasan dapat diteruskan ke arah Stesen Woodlands North di Singapura dan dijangka dapat disiapkan pada bulan Julai.
“Projek RTS Link merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kami untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau. Kami menzahirkan penghargaan terima kasih kepada dua syarikat infrastruktur dari Malaysia dan Singapura (InfraCos) di atas komitmen dengan memberikan akses pada masa yang tepat untuk memulakan kerja.
Sebagai operator RTS Link, fokus utama kami adalah untuk memastikan ketersediaan operasi dan menyiapkan projek mengikut jadual serta memberikan pengalaman perjalanan yang selamat, cekap dan bertaraf dunia. Hasrat kami adalah untuk menyediakan kemudahan pengangkutan yang boleh dipercayai dan mengurangkan kesesakan jalanraya serta meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan.” kata Dr Ahmad Marzuki Ariffin, Ketua Pegawai Eksekutif RTSO Operations Ltd.
Pengarah Projek, RTS Operations Ltd, Zahrin Abdul Gani berkata: “Kami berbesar hati ingin memaklumkan bahawa fasa pelaksanaan sistem bagi projek RTS berjalan dengan baik. Fokus utama kami dalam beberapa bulan akan datang adalah pada sistem utama seperti kerja landasan, kereta api, pembekal kuasa landasan, pengintegrasian sistem isyarat dan sistem kawalan.
Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan kami bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk perunding, kontraktor, syarikat infrastruktur dari Malaysia dan Singapura (InfraCos), dan semua agensi kerajaan berkaitan untuk mencapai visi sifar kemalangan. Pasukan kami terdiri daripada kakitangan yang dipinjamkan dari Prasarana dan SMRT akan bekerja keras bagi memastikan kejayaan projek strategik bilateral ini disiapkan mengikut jadual dan seterusnya membawa manfaat kepada kepada kedua-dua negara,” ujar Zahrin lagi
RTS Operations sangat komited untuk memastikan projek ini berjaya disiapkan tepat pada masanya. Apabila siap kelak, RTS Link akan menawarkan penyelesaian masalah pengangkutan berkonsep baharu yang selesa dan efisien. Projek ini melambangkan matlamat bersama untuk mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi, mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Singapura dan membawa pertumbuhan mampan terhadap komuniti di kedua-dua sempadan negara.
