Lahirnya Skuadron Rapid Rail Malaysia

Pada 16 Februari 2026, Menara Prasarana mencatat satu lagi detik penting dalam sejarah mobiliti negara. Buat pertama kalinya, dunia rel bandar dan dunia pertahanan negara disatukan secara rasmi melalui peluncuran Skuadron Rapid Rail, 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera DiRaja (Askar Wataniah).

Majlis peluncuran disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, dengan kehadiran Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Azhan Hj Md Othman. Kehadiran kedua-dua tokoh utama pertahanan ini menandakan betapa pentingnya inisiatif ini kepada keselamatan dan kesinambungan mobiliti negara.

Sistem rel bandar Rapid KL telah menjadi denyut nadi harian negara. Namun, di sebalik perjalanan yang lancar itu, wujud keperluan untuk memastikan rangkaian rel sentiasa mampu beroperasi walaupun ketika krisis, bencana atau ancaman keselamatan.

Di sinilah lahirnya Skuadron Rapid Rail, satu pasukan pakar dalam operasi, penyelenggaraan serta pemulihan sistem rel bandar ketika kecemasan. Ia dibentuk untuk menyokong kesiapsiagaan negara dan memastikan mobiliti rakyat tidak terhenti dalam apa jua keadaan.

Langkah ini juga seiring dengan agenda Kerajaan MADANI dan dasar Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menekankan daya tahan serta keselamatan infrastruktur kritikal negara.

Keunikan skuadron ini terletak pada keanggotaan mereka. Ia bukan pasukan tentera tetap, tetapi terdiri daripada 33 pegawai dan191 anggota Askar Wataniah, yang mempunyai kepakaran profesional dalam bidang rel, kejuruteraan dan operasi pengangkutan bandar.

Mereka adalah tenaga pakar industri rel yang digembleng dalam struktur ketenteraan bagi menyokong operasi negara ketika diperlukan. Dengan latihan khas dan disiplin ketenteraan, mereka kini berperanan sebagai pasukan teknikal berkeupayaan tinggi dalam menangani gangguan berskala besar.

Skuadron ini juga mencerminkan kerjasama erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rapid Rail Sdn Bhd, selaku pengendali utama perkhidmatan rel bandar. Ia menjadi contoh nyata pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Dengan wujudnya skuadron ini, Malaysia kini lebih bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang boleh menjejaskan perkhidmatan rel sekaligus memastikan rakyat dapat bergerak dengan selamat, lancar dan yakin.

Loading Tender ...

Loading Profile ...