Nina – Satu-satunya Kapten Bas Wanita di BRT Sunway 

Di BRT Sunway, nama Nina memang cukup dikenali. Mana tidaknya, dialah satu-satunya kapten bas wanita yang mengemudi perkhidmatan BRT setiap hari. Walaupun berada dalam bidang yang kebanyakannya diterajui lelaki, keberanian dan semangat Nina terus menjadi inspirasi buat ramai. 

Kisah Nina bermula secara kebetulan. Pada awalnya, dia hanya menemani suaminya ke sesi temu duga kapten bas di Rapid KL. Namun, panel temu duga melihat potensi dalam dirinya dan menggalakkannya untuk turut mencuba. Dari situ, bermulalah perjalanan kerjayanya bersama Rapid KL, langkah spontan yang kini menjadi sebahagian besar hidupnya. 

Dengan 10 tahun bersama Prasarana, Nina pernah berkhidmat di Rapid Penang dan Rapid Kuantan sebelum kembali ke Lembah Klang. Selepas enam tahun memandu bas diesel, dia kini mengendalikan bas elektrik yang jauh lebih moden dan menggunakan teknologi berbeza. 

“Latihan di Depoh BRT Sunway memang lengkap. Lepas habis latihan, kami perlu lalui penilaian dengan Akademi Bas. Bila dah disahkan layak barulah boleh pandu bas EV. Semua ini memang penting supaya kami sentiasa bersedia,” jelas Nina. 

Rutin hariannya juga bukan calang-calang. Untuk syif pagi, Nina bangun seawal 3:30 pagi, keluar rumah pada 4:15 pagi, dan tiba di depoh sekitar 4:30 pagi bagi membuat persiapan awal sebelum operasi bermula pukul 6:00 pagi. Walaupun laluan BRT hanya melibatkan tujuh stesen, dia tetap menekankan bahawa kesiapsiagaan terhadap kecemasan adalah sebahagian penting dalam tugas setiap kapten bas. 

Bertugas di depoh kecil juga ada kelebihannya. Hubungan antara rakan setugas lebih rapat dan suasananya lebih mesra. “Kami selalu sambut hari lahir dan buat aktiviti kecil sama-sama. Walaupun tak ramai, suasananya tetap meriah,” kata Nina sambil tersenyum. 

Nina berharap dapat terus berkhidmat dan satu hari nanti bersara di BRT Sunway… tempat yang sudah menjadi seperti rumah kedua buatnya setelah lebih sedekad berbakti. 

Loading Tender ...

Loading Profile ...