Berucap di hadapan lebih 650 kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Yang Berhormat Anthony Loke Siew Fook telah menyampaikan amanat dan ucapan terima kasih atas prestasi dan pencapaian Prasarana yang sangat memberangsangkan pada tahun 2024.
Ucapan dan kata-kata yang begitu semangat disampaikan oleh YB Anthony Loke dalam sesi berbuka puasa disambut baik dengan tepukan gemuruh daripada semua hadirin.
Beliau turut berkongsi respons apabila ditanya oleh media mengenai pencapaian Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT). Beliau menegaskan bahawa pencapaian Prasarana adalah antara yang paling dibanggakan!
Kejayaan Prasarana dapat dilihat melalui peningkatan jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan rel dan bas, serta pengurangan kadar kerosakan perkhidmatan rel sebanyak 40% pada tahun 2024.
Di hadapan para hadirin, beliau turut menegaskan bahawa setiap warga Prasarana harus berbangga sebagai sebahagian daripada organisasi ini. Kata-kata pujian ini ternyata memberi motivasi dan semangat luar biasa kepada kakitangan.
Majlis berbuka puasa yang diadakan di Menara Prasarana kali ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi juga simbol keprihatinan dan semangat kebersamaan. Kehadiran 25 anak yatim dari komuniti PPR Lembah Subang 1 menjadikan suasana lebih bermakna, dengan senyuman mereka mencerminkan kegembiraan yang tulus. Momen ini bukan sahaja merapatkan hubungan dalam kalangan warga kerja Prasarana, tetapi juga mengeratkan jalinan dengan masyarakat setempat.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Kumpulan Prasarana, YBhg. Tan Sri Jamaludin Ibrahim, serta barisan kepimpinan kanan syarikat. Kehadiran mereka mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan komitmen dalam industri pengangkutan awam.
YB Anthony Loke turut menekankan bahawa kejayaan ini tidak harus terhenti di sini. Sasaran tahun ini adalah untuk meningkatkan pencapaian Mean Kilometers Between Failures (MKBF), menambah bilangan penumpang serta meningkatkan hasil bagi memastikan pengangkutan awam terus berdaya maju.
Majlis ini juga menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara pekerja, kepimpinan, dan komuniti yang menjadi tulang belakang perkhidmatan Prasarana. Dengan semangat kekeluargaan yang tinggi, inilah usaha bersama dalam membangunkan pengangkutan awam yang lebih cekap dan mesra pengguna.
Sebelum itu, pada sebelah petang, Prasarana turut menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Pengurusan Tertinggi (MPT) yang dihadiri oleh ketua-ketua agensi di bawah (MOT). Acara kemudian diteruskan dengan perasmian plak Rukun Negara berskala mega oleh YB Anthony Loke, yang ditempatkan di ruang lobi Menara Prasarana. Perasmian ini turut disaksikan oleh ketua-ketua agensi serta kakitangan Prasarana.
Plak Rukun Negara ini diletakkan sebagai simbol komitmen Prasarana dalam mengamalkan prinsip-prinsip kebangsaan serta memperkukuh nilai-nilai integriti, perpaduan, dan tanggungjawab dalam perkhidmatan awam. Ia mencerminkan aspirasi syarikat untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi, selaras dengan visi membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien, selamat, dan inklusif untuk semua.
