Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tradisional. Anak perempuan tunggal daripada enam beradik. Sejak kecil, saya menyimpan cita-cita yang tinggi, walaupun sering berdepan dengan rasa kecewa dan kesedihan. Setiap kali hati terasa lemah, saya akan mendongak ke langit. Ketika siang, awan yang beraneka bentuk menjadi peneman, dan ketika malam, bintang-bintang melakar harapan di angkasa. Betapa indahnya ciptaaNya.
Saya pernah kecewa kerana keluarga tidak menyokong impian saya. Mereka percaya bahawa tempat wanita hanyalah di dapur. Tinggal di kawasan pedalaman menjadikan peluang pekerjaan sangat terhad. Saya menganggur selama beberapa tahun sebelum nekad merantau untuk mencari rezeki. Di situlah saya mencuba nasib untuk bekerja di Rapid KL.
Pada awalnya, saya ingin menceburi bidang teknikal. Namun, pegawai yang menemu duga saya mencadangkan agar saya mencuba sebagai pemandu tren. Saya menolak pada mulanya. Tetapi setelah diberi penerangan tentang skop kerja yang jarang diceburi oleh wanita, saya anggap ia sebagai satu cabaran baru. Saya mencuba dan Allah membuktikan bahawa saya mampu berjaya seperti orang lain.
Kini, saya mengemudi salah satu tren Rapid KL dengan penuh rasa syukur. Tuhan menggantikan kesedihan saya dengan kebahagiaan dan kerjaya yang bermakna. Setiap hari, saya ditemani oleh pemandangan indah awan dan bintang yang dulunya hanya menjadi impian.
Jadi, percayalah. Setiap kesedihan akan diganti dengan kebahagiaan. Saya yakin, di sebalik kepayahan, pasti ada nikmat yang menanti. Walaupun saya tidak berada tinggi di angkasa, namun berada di tempat yang membolehkan saya melihat keindahan langit setiap hari sudah cukup membahagiakan.
Pesanan saya: Bila kita rasa down, dongaklah kepala ke atas. Lihatlah betapa indahnya ciptaaNya. Mungkin kita terlalu lama memandang ke bawah, hingga terlupa bahawa ada sesuatu yang lebih indah menanti kita di atas.
Penulis : Marina Mohtar