Prasarana & PDRM Selangor Perkukuh “Langkah Selamat” Demi Keselamatan Pengguna

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor terus memperkukuh kerjasama strategik melalui program High Profile Policing Walkabout Langkah Selamat bersama YDH Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli bin Dato’ Kahar; Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Amir Hamdan; serta ADUN Kajang, YB David Cheong Kian Young.

Program ini menjadi landasan penting bagi Prasarana dan PDRM dalam memastikan keselamatan pengguna sentiasa berada pada tahap terbaik. Melalui pengukuhan pemantauan keselamatan, rondaan bersama dan sesi libat urus dengan komuniti, kedua-dua agensi dapat memahami keperluan sebenar pengguna dan terus membina keyakinan terhadap rangkaian pengangkutan awam.

Delegasi memulakan walkabout dengan menaiki tren dari Stesen Sri Raya ke Stesen Stadium Kajang, memberi peluang untuk meninjau keadaan stesen, pergerakan pengguna serta mendapatkan maklum balas terus daripada penumpang. Pendekatan turun padang ini membantu Prasarana dan PDRM mengenal pasti risiko lapangan secara lebih tepat bagi merancang tindakan pencegahan yang lebih berkesan.

Setibanya di Stesen Stadium Kajang, delegasi disambut oleh kepimpinan Prasarana, diiringi persembahan Tarian Singa serta demonstrasi TBaton dan drumline Pancaragam PDRM, melambangkan komitmen bersama untuk memastikan rangkaian pengangkutan awam sentiasa selamat, teratur dan mesra pengguna.

Inisiatif seperti ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan fizikal di stesen dan tren, tetapi turut memainkan peranan besar dalam membina keyakinan masyarakat, bahawa Prasarana sentiasa proaktif, responsif dan komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan terjamin untuk semua.

Loading Tender ...

Loading Profile ...