Prasarana Perkasa Bahasa Kebangsaan bagi Produk Rapid 

Dalam usaha menjadikan pengangkutan awam lebih mesra rakyat dan mudah difahami, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tampil dengan penjenamaan semula enam pas perjalanan utama Rapid KL dengan nama baharu yang lebih dekat di hati dan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. 

Langkah ini diumumkan sempena acara Santai Bersama Rapid KL 2.0 pada 25 Oktober 2025 di Stesen Taman Perindustrian Puchong, dan merupakan sebahagian daripada strategi Prasarana untuk memperkukuh identiti jenama Rapid serta menyokong usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan. 

Nama Baharu, Semangat Baharu 

  • Rapid Kembara (dahulunya Pas MyTourist) – untuk pelancong yang ingin meneroka bandar dengan mudah. Pas ini turut menawarkan diskaun menarik di lokasi rakan kerjasama terpilih sekitar Lembah Klang. 
  • Rapid Kota (Pas MyCity) – untuk warga kota yang aktif dan dinamik 
  • Rapid Mesra (Pas OKU Smile) – khas untuk OKU 
  • Rapid Keluarga (Pas Keluarga Malaysia) – untuk keluarga yang nak jimat dan selesa 
  • Rapid Pelajar (MyRapid Pelajar) – untuk pelajar yang sentiasa bergerak 
  • Rapid Emas (MyRapid Warga Emas) – untuk warga emas yang dihargai 

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, penjenamaan semula ini bukan sekadar menukar nama, tetapi satu langkah strategik untuk menjadikan jenama Rapid lebih inklusif dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat. 

“Kami mahu setiap pengguna rasa lebih dekat dengan jenama Rapid. Nama-nama baharu ini bukan sahaja lebih mesra, tetapi juga memperkukuh peranan Bahasa Melayu dalam pengangkutan awam negara,” jelas beliau. 

#RakanRapid: Watak-Watak Yang Dekat Dengan Kita 

Acara tersebut turut menyaksikan pelancaran inisiatif baharu digelar #RakanRapid – satu kumpulan watak yang mewakili pelbagai jenis pengguna pengangkutan awam. Dari pelajar, pekerja, pencinta budaya, keluarga, warga emas hingga individu berkeperluan khas – semuanya diraikan. 

Melalui #RakanRapid, Prasarana ingin membina hubungan yang lebih inklusif dan bermakna dengan pengguna, menjadikan mereka bukan sekadar penumpang, tetapi sebahagian daripada komuniti Rapid KL. 

Sokong Lokal, Sokong Komuniti 

Acara Santai Bersama Rapid KL 2.0 juga dimeriahkan dengan bazar Seleksi Lokal, menampilkan lebih 35 usahawan tempatan yang menjual makanan, minuman dan barangan gaya hidup. Turut hadir ialah pasar bergerak MyGrocer untuk penebusan subsidi SARA, serta booth dari rakan strategik seperti Sea Makeup, Zus Coffee dan Melodi. 

Prasarana terus menunjukkan komitmen bukan sahaja dalam mobiliti, tetapi juga dalam menyokong ekonomi tempatan dan komuniti sekitar. 

Dengan penjenamaan semula ini, Rapid KL bukan sahaja tampil lebih segar, tetapi juga lebih dekat dengan rakyat – menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama yang inklusif, progresif dan berdaya saing. 

Loading Tender ...

Loading Profile ...