Di pentas berprestij Now and Future Conference and Exhibition yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur, Idzqandar Abu Bakar, Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Persekitaran & Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, telah tampil sebagai salah seorang panelis dalam sesi dialog bertajuk “Public-Private Synergy in Transport and Trade Infrastructure”. Sesi tersebut berlangsung telah berlangsung selama satu jam dan dikendalikan oleh moderator Kenneth Tiong, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Logistik dan Pengangkutan ACCCIM.
Dalam sesi yang padat dengan wacana strategik dan visi masa depan, Idzqandar membuka bicara dengan memperkenalkan Prasarana sebagai peneraju pengangkutan awam negara yang kini giat melaksanakan pelan Sustainability Blueprint 2023–2030. Beliau menekankan bahawa lebih 5,000 vendor kini terlibat dalam ekosistem Prasarana, dan pelancaran portal ESG pada Julai 2025 menjadi bukti komitmen syarikat terhadap kelestarian.
Menurut beliau, sektor awam memainkan peranan penting dalam menyediakan kerangka peraturan, insentif dan mekanisme penguatkuasaan, manakala sektor swasta pula membawa inovasi, teknologi dan model pembiayaan yang segar. Sinergi antara kedua-dua sektor ini, katanya, dapat diwujudkan melalui akauntabiliti bersama dalam kalangan pembekal, kontraktor dan pihak pembiaya. Prasarana sendiri telah mula mengintegrasikan kriteria ESG dalam proses perolehan dan penglibatan vendor, menjadikan kelestarian sebagai elemen wajib dalam rantaian bekalan.
Ketika menjawab soalan berkaitan elektrifikasi dan peralihan rendah karbon, Idzqandar menegaskan bahawa Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mencapai status sifar karbon bersih menjelang tahun 2050. Dalam konteks pengangkutan awam, Prasarana sedang giat melaksanakan peralihan kepada bas elektrik, termasuk pelaburan besar dalam infrastruktur pengecasan dan pembangunan depot berkuasa tenaga boleh diperbaharui.
Beliau turut mengakui bahawa cabaran utama dalam peralihan ini adalah kos modal permulaan yang tinggi serta tahap kesediaan teknologi. Justeru, beliau menyeru sektor swasta untuk memainkan peranan melalui pembiayaan bon hijau, model pajakan, perkongsian awam-swasta (PPP), pemindahan teknologi daripada pengeluar OEM, serta pembangunan grid pintar yang menyokong operasi hijau.
Penyertaan Idzqandar dalam forum ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Prasarana sebagai peneraju transformasi pengangkutan awam negara, malah mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan lestari yang inklusif dan berimpak tinggi.