
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkukuh komitmennya terhadap amalan perniagaan lestari menerusi kerjasama strategik bersama UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), inisiatif kelestarian korporat terbesar di dunia.
Kerjasama ini dimeterai secara rasmi menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Prasarana dan UNGCMYB yang berlangsung di Menara Prasarana, Subang pagi ini. MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Mohd Azharuddin Mat Sah, dan Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Encik Faroze Nadar.
Usaha ini merupakan satu pencapaian penting dalam inisiatif Prasarana untuk memperkasa industri pengangkutan awam negara, di samping menyokong agenda kelestarian nasional yang memberi manfaat kepada penumpang, komuniti serta ekonomi negara secara keseluruhan.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Prasarana akan melancarkan Vendor ESG Hub — sebuah platform digital khusus yang akan menyediakan akses kepada latihan, alatan serta sumber berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada lebih 5,000 vendor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh keupayaan vendor tempatan yang mewakili 96% daripada keseluruhan syarikat berdaftar di Malaysia.
Program latihan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dijangka bermula pada bulan Julai. Vendor yang terlibat juga akan dibimbing untuk membangunkan laporan kelestarian selaras dengan piawaian ESG antarabangsa.
Menurut Mohd Azharuddin, inisiatif ini mencerminkan peranan Prasarana sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GOC) yang bertanggungjawab dan komited terhadap pembangunan yang mampan.
“Peranan kami sebagai pengendali pengangkutan awam bukan sekadar menggerakkan orang ramai. Kami turut berusaha untuk membina ekosistem perniagaan yang lebih kukuh — yang menyokong PKS dan menyumbang kepada perkhidmatan lebih baik kepada rakyat. Vendor ESG Hub merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang kami untuk membantu perniagaan tempatan berkembang secara mampan,” katanya.
Inisiatif ini secara langsung melengkapkan pelan hala tuju kelestarian Prasarana yang sedang berjalan, termasuk perancangan untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui elektrifikasi bas, perluasan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta sokongan terhadap program berasaskan komuniti.
MoU bersama UNGCMYB ini merupakan bukti komitmen Prasarana dalam memacu kemajuan industri dan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam negara terus berkembang sebagai perkhidmatan yang lestari, inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.