Prasarana Santuni 30 Pelajar Sekolah Melalui Program Satu Pemimpin Satu Kampung

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyantuni 30 pelajar sekolah rendah dari Kampung Kerdas, Gombak menerusi program ‘Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni Madani (1P1KSM)’.

Inisiatif ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada golongan yang kurang berkemampuan serta membantu mereka dalam penyediaan keperluan persekolahan. Ini juga dapat memberikan pengalaman bermakna dan semangat kepada para pelajar bagi menghadapi sesi persekolahan baharu.

Para pelajar telah dibawa menaiki bas khas Rapid KL ke pusat membeli-belah Aeon Mall Wangsa Maju untuk memilih sendiri pakaian persekolahan seperti baju sekolah, beg dan kasut baharu.

Selain membeli keperluan persekolahan, para pelajar ini telah diberikan taklimat mengenai operasi Rapid KL dan kepentingan menggunakan pengangkutan awam.

Langkah ini penting bagi memberi kesedaran dan ilmu kepada pelajar sekolah bagi melahirkan generasi yang cakna terhadap penggunaan pengangkutan awam dan kelestarian alam sekitar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, “Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Prasarana untuk mendekati masyarakat dan memberikan sokongan kepada golongan yang memerlukan, terutamanya dalam aspek pendidikan.

Kami percaya bahawa pengalaman ini mampu menyuntik inspirasi kepada para pelajar untuk terus maju dalam akademik serta kehidupan mereka.”

Sebagai tambahan kepada program ini, Prasarana turut menaja pemasangan lima (5) unit lampu solar di Kampung Kerdas, Gombak. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keselamatan dan sosial penduduk, khususnya di jalan kampung yang gelap dan berbahaya. Penggunaan lampu solar adalah usaha Prasarana menyokong pembangunan infrastruktur Lestari.

“Pemasangan lima (5) unit lampu solar ini adalah projek rintis Prasarana menerusi inisiatif 1P1KSM, manakala pemasangan baki 35 unit lampu solar dan kerja-kerja menaiktaraf gelanggang futsal dijangka disiapkan menjelang Julai tahun ini,” ujar Azharuddin ketika melawat pemasangan lampu solar di kampung tersebut.

Lawatan ini disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangungan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kerdas, Encik Shamsudin Bin Yahaya, dan Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar & Pembangunan Mampan Kumpulan, Prasarana Encik Idzqandar Abu Bakar, yang bersama-sama meninjau inisiatif komuniti bersama penduduk kampung.

Pemilihan Kampung Kerdas dibuat berdasarkan lokasinya yang terletak dipinggir ibu kota Kuala Lumpur serta terhubung dengan jaringan pengangkutan awam kendalian Prasarana iaitu LRT dan bas Rapid KL.

“Prasarana mahu masyarakat yang tinggal disekitar jajarannya untuk bersama menikmati limpahan kemajuan sistem pengangkutan awam yang semakin moden. Sebagai syarikat yang sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat, Prasarana akan terus memperkasa inisiatif komuniti yang memberi impak positif kepada rakyat selaras dengan prinsip Kerajaan Madani,” ujar Azharuddin lagi.

Loading Tender ...

Loading Profile ...