Prasarana Terus Menyokong Industri Kewartawanan Negara Menerusi Tajaan Malam Wartawan Malaysia MPI

Lebih sedekad lamanya, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kekal konsisten menyokong penganjuran Malam Wartawan Malaysia — sebuah acara tahunan yang cukup bermakna dalam mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan para pengamal media tanah air.

Tahun ini, Prasarana sekali lagi tampil sebagai rakan penaja bagi menjayakan Majlis Wartawan Malaysia 2025 (MWM 2025) dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2024 (HKM 2024) yang dijadual berlangsung pada 20 Jun akan datang.

Sebagai simbol sokongan, satu majlis penghargaan kepada para penaja telah diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya. Mewakili Prasarana, Pemangku Ketua Komunikasi Kumpulan, Puan Tengku Azrawati Tengku Arshad, menyerahkan replika cek sumbangan kepada pihak penganjur. Majlis ini turut diselitkan dengan sesi townhall bersama pengamal media yang membincangkan isu serta cabaran semasa agensi kerajaan dalam berinteraksi dengan pihak media.

Meskipun sumbangan kami bersifat sederhana, ia melambangkan komitmen berterusan Prasarana dalam usaha memartabatkan profesion kewartawanan — satu bidang yang menjadi teras kepada pembentukan masyarakat berinformasi dan berfikiran kritis. Kami percaya media yang beretika, bebas dan berwibawa adalah rakan strategik dalam membina negara yang telus, progresif dan berdaya saing.

Semoga sokongan ini terus menyemarakkan semangat kewartawanan di Malaysia, dan menjadi pemangkin kepada para wartawan untuk terus menghasilkan laporan yang berkualiti, berintegriti dan memberi manfaat kepada rakyat.”

Loading Tender ...

Loading Profile ...