Ride or Latte 2026 berjaya menghimpunkan lebih 100 pengikut media sosial Rapid KL di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan pada 16 Mei lalu dalam suasana santai dan penuh interaksi.
Melalui program ini, para peserta berpeluang melihat sendiri di sebalik tabir operasi harian Rapid KL serta memahami bagaimana perkhidmatan bas dijalankan setiap hari untuk memastikan perjalanan pelanggan berjalan lancar.
Sepanjang program berlangsung, peserta dibawa melawat Pusat Kawalan Bas (Bus Control Centre – BCC), mencuba simulator pemanduan bas di Akademi Bas serta melihat sendiri proses penyelenggaraan bas di bengkel. Pengalaman eksklusif ini memberi gambaran lebih dekat tentang operasi dan komitmen warga kerja Rapid KL dalam memastikan perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Selain sesi lawatan, peserta terpilih turut berpeluang berkongsi pandangan, pengalaman dan maklum balas mereka menggunakan perkhidmatan Rapid KL secara santai bersama pihak pengurusan. Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif, sukaneka dan jamuan ringan, termasuk permainan “Radio Rosak” yang mencuit hati para peserta.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah dan ucapan penutup daripada pihak pengurusan Rapid Bus. Secara keseluruhan, Ride or Latte 2026 bukan sahaja berjaya mendekatkan Rapid KL dengan komuniti pengikut media sosialnya, malah membuka ruang kepada orang ramai untuk lebih mengenali usaha dan komitmen di sebalik operasi pengangkutan awam setiap hari.


