Si Kenit, Adik, Cantik dan Si Lembu: Selebriti Tidak Rasmi Rapid KL

Pernahkah anda terserempak dengan seekor kucing yang sedang lena di penjuru stesen, atau tiba-tiba datang menghampiri seolah-olah mahu menyambut anda pulang?

Di beberapa stesen Rapid KL, si bulus ini bukan lagi “tetamu singgah”. Mereka sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan harian stesen — ada nama sendiri, ada peminat tersendiri, malah ada yang sudah dianggap seperti keluarga oleh warga kerja dan pelanggan tetap.

Di sebalik hiruk-pikuk tren, bunyi pengumuman platform dan langkah laju warga kota mengejar masa, kehadiran Kenit, Adik, Cantik dan Lembu membawa satu rasa yang sukar dijelaskan — kecil, sederhana, tetapi cukup untuk membuatkan hari seseorang terasa sedikit lebih ringan.

Kenit dan Adik, Peneman Setia di Stesen Ampang

Bagi Hamisah Aziz, memulakan tugas di Stesen Ampang bukan sekadar memastikan operasi berjalan lancar setiap hari. Ada dua “penyambut tetap” yang sentiasa mencuri perhatian — Kenit dan Adik.

Kenit mudah dikenali dengan tubuhnya yang kecil dan sedikit tembam, manakala Adik pula mempunyai corak bulu unik seakan-akan kek marble. Namun di sebalik rupa comelnya, Adik sebenarnya menyimpan kisah yang cukup menyentuh hati.

Beberapa tahun lalu, dia ditemui bersama empat adik-beradik lain selepas ditinggalkan di kawasan stesen. Hari ini, hanya Adik yang masih setia menjadikan Stesen Ampang sebagai rumahnya.

Bagi warga stesen, mereka bukan sekadar kucing jalanan yang singgah mencari makan. Kehadiran mereka sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian. Jika kelibat mereka tidak kelihatan seperti biasa, pasti ada yang mula bertanya, “Eh, mana Adik hari ini?”

Lembu, Si Gebu Kesayangan Dato’ Keramat 

Di Stesen Dato’ Keramat pula, perhatian ramai sering tertumpu kepada seekor si bulus yang diberi nama cukup unik: Lembu. Nama itu hadir daripada corak bulunya yang menyerupai tompokan pada seekor lembu. Ketika mula muncul sekitar Ogos tahun lalu, keadaannya agak kurus dan tidak terurus. Namun hasil keprihatinan staf stesen dan pelanggan yang kerap singgah memberi makan, Lembu kini semakin sihat, gebu dan manja.

Hari ini, Lembu sudah menjadi “selebriti kecil” di stesen tersebut. Ada pelanggan yang sengaja mencarinya sebelum menaiki tren, dan ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya.

Cantik, Bintang Media Sosial Wangsa Maju 

Sementara itu, di Stesen Wangsa Maju, seekor kucing bernama Cantik pula sudah lama mencuri hati pelanggan sejak tahun 2019.

Sesuai dengan namanya, Cantik terkenal dengan keletah manja dan sifatnya yang mesra dengan manusia. Menurut Noor Zafbrina Jaafar, ramai pelanggan akan berhenti seketika untuk menyapa atau bermain dengannya sebelum meneruskan perjalanan masing-masing.

Popularitinya juga tidak terhad di kawasan stesen sahaja. Gambar dan videonya sering muncul di media sosial seperti Threads, TikTok dan Instagram, menjadikan Cantik antara “penghuni stesen” yang paling dikenali pelanggan Rapid KL.

Lebih Daripada Sekadar Si Bulus 

Apa yang menjadikan kisah-kisah ini lebih istimewa sebenarnya bukan hanya tentang kucing yang mencari tempat berteduh. Ia tentang sifat prihatin yang lahir secara semula jadi dalam kalangan warga stesen dan pelanggan.

Ada yang membawa makanan sebelum memulakan perjalanan ke tempat kerja. Ada yang membantu mendapatkan rawatan apabila diperlukan. Ada juga yang sekadar meluangkan masa beberapa minit untuk memastikan si bulus ini berada dalam keadaan baik.

Semua itu berlaku tanpa diminta dan tanpa mengharapkan balasan.

Dalam dunia yang sentiasa bergerak pantas, kehadiran Kenit, Adik, Lembu dan Cantik menjadi “pause button” kecil buat ramai pelanggan dan warga stesen. Di sebalik tren, platform dan perjalanan harian, rupanya masih ada ruang untuk rasa prihatin, kasih sayang dan sedikit kegembiraan yang tidak dirancang.

Loading Tender ...

Loading Profile ...