Sentuhan Terakhir Siti Pastikan Projek Tren KLAV 27 Berjaya

Perasaan gembira bersalut kesyukuran jelas terpancar pada wajah Puan Siti Syahirah Binti Saleh apabila set tren terakhir bagi projek Kuala Lumpur Additional Vehicles (KLAV27) berjaya melepasi Pemeriksaan Cermat Akhir (PCA) dan menerima kelulusan operasi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Detik ini menandakan berakhirnya fasa utama pemerolehan 27 set tren baharu di bawah projek KLAV27 — sebuah pencapaian besar yang menjadi simbol penutup manis kepada perjalanan panjang sejak tahun 2017.

Kru Warna berkesempatan menemu bual Siti Syahirah, yang menggalas tanggungjawab besar selaku Pengurus Projek KLAV27. Dalam nada rendah hati, beliau berkongsi rasa syukur atas kejayaan ini serta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah sama-sama memainkan peranan dalam menjayakan projek bernilai RM1.7 bilion ini.

Projek ini dimulakan dengan objektif memperkukuh kapasiti dan kecekapan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya. Perolehan tren pertama diterima secara berperingkat bermula tahun 2021, dan kini, tren ke-27 yang juga set tren terakhir telah bersedia untuk menerima penumpang dan beroperasi. Penambahan tren ini akan meningkatkan kekerapan kepada setiap 3 minit pada waktu puncak, yang secara langsung membantu mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sistem pengangkutan awam negara.

Menurut Siti Syahirah, proses PCA adalah antara komponen paling kritikal yang melibatkan semakan dokumentasi teknikal, laporan Fault Free Run (FFR), serta pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem isyarat, automasi dan keselamatan.

“Cabaran utama adalah memastikan semua pihak bergerak seiring agar tren mendapat kelulusan dalam tempoh ditetapkan tanpa kompromi terhadap aspek keselamatan. Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Encik Muhammad Hafizi Hashim dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya Rapid Rail dan APAD atas kerjasama yang erat sepanjang proses ini.”

Kejayaan ini, katanya, tidak akan tercapai tanpa komitmen tinggi dan semangat berpasukan daripada Rapid Rail khususnya pasukan QA, Rolling Stock dan Operasi, jurutera perunding dari JACOBS, kontraktor utama Alstom Hartasuma Consortium serta kerjasama berterusan bersama APAD sepanjang proses kelulusan dan pematuhan.

Loading Tender ...

Loading Profile ...