TKSU MOT Melihat Dari Dekat Persediaan Operasi Laluan Shah Alam

Persediaan operasi Laluan Shah Alam (LRT3) ditinjau menerusi satu lawatan kerja oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) yang melibatkan YBrs. Dr. Nor Fuad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), bersama delegasi MOT dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat yang memberi gambaran menyeluruh mengenai perkembangan terkini projek serta tahap kesiapsiagaan sistem dan operasi. Pasukan projek turut berkongsi langkah-langkah persediaan yang sedang dilaksanakan bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan teratur dan selamat.

Sesi diteruskan dengan pembentangan berkaitan persediaan operasi Laluan Shah Alam, termasuk perancangan sumber manusia, pengurusan tren dan kesiapsiagaan stesen. Fokus utama adalah memastikan kelancaran perkhidmatan serta pengalaman penumpang yang selesa apabila operasi penuh dilaksanakan kelak.

Rapid Rail kini mengendalikan operasi percubaan Laluan Shah Alam, termasuk pengoperasian Pusat Kawalan Operasi (OCC) sepanjang masa dengan sokongan kontraktor. Operasi percubaan ini disokong oleh kakitangan operasi dan penyelenggaraan yang bertugas mengikut syif di stesen serta depoh. Sepanjang tempoh ini, pegawai transit turut ditempatkan di dalam setiap tren bagi memantau aspek keselamatan dan memastikan perjalanan berjalan lancar.

Delegasi MOT turut dibawa melawat OCC bagi melihat secara langsung sistem pemantauan dan kawalan operasi LRT3. Lawatan diteruskan dengan pengalaman menaiki tren dari Stesen Johan Setia ke Stesen Jambatan Kota, termasuk sesi tinjauan kemudahan dan fasiliti untuk penumpang di stesen tersebut.

Secara keseluruhan, lawatan ini memperlihatkan usaha berterusan dan komitmen pelbagai agensi dalam memastikan Laluan Shah Alam disediakan dengan rapi dari segi operasi, selari dengan matlamat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, cekap dan boleh dipercayai kepada orang ramai.

Loading Tender ...

Loading Profile ...