TPM Komited Perkasa Pengunaan Pengangkutan Awam Dengan Sokongan Inisiatif Prasarana

Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kebimbangan terhadap kadar penggunaan pengangkutan awam yang masih rendah iaitu sekitar 25%, jauh lebih rendah berbanding negara seperti Tokyo (73%), Seoul (63%) dan Singapura (67%).

Beliau turut menyentuh isu kepadatan kenderaan yang semakin membimbangkan, dengan 38.7 juta kenderaan berdaftar setakat akhir 2024, bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk – melebihi jumlah penduduk negara sendiri.

“Trend ini bukan sahaja membebankan infrastruktur, malah menjejaskan keselamatan dan kualiti hidup rakyat. Kita perlu anjakan sikap yang hanya boleh dicapai melalui sistem yang boleh dipercayai dan kempen kesedaran menyeluruh,” ujar beliau.

Bagi menjayakan visi kerajaan meningkatkan nisbah pengguna pengangkutan awam, Prasarana yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) Prasarana, En. Mohd Azharuddin Mat Sah, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, YAB di pejabat beliau di Putrajaya bagi membincangkan arah tuju pengangkutan awam negara serta peranan Prasarana sebagai peneraju utama dalam agenda mobiliti rakyat.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), En. Amir Hamdan dan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan, Dr. Harigaran Bharatham.

Dalam pertemuan tersebut, En. Azharuddin membentangkan peranan strategik Prasarana dalam memperkasa sistem pengangkutan awam, termasuk usaha berterusan dalam penambahbaikan mutu perkhidmatan, peluasan rangkaian dan pendekatan berfokuskan pelanggan.

YAB TPM menyatakan keyakinan bahawa dengan komitmen bersepadu agensi seperti Prasarana serta sokongan semua pemegang taruh, Malaysia mampu keluar daripada kebergantungan kepada kenderaan persendirian, menuju ke arah sistem pengangkutan awam yang mesra rakyat, lestari dan efisien.

Loading Tender ...

Loading Profile ...