Projek RTS Link mencatat satu lagi pencapaian penting apabila set tren pertamanya diperkenalkan secara rasmi pada 30 Jun 2025 di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC). Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Anthony Loke, bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow.
Tren ini merupakan set yang pertama daripada lapan set tren tanpa pemandu yang akan digunakan bagi perkhidmatan RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands North di Singapura. Ia kini sedang menjalani Ujian Integrasi Sistem Luar Tapak (OSIT) di SRTC sebelum diteruskan ke fasa ujian di tapak sebenar.
Menariknya, proses pembuatan tren-tren RTS Link turut dijalankan di Batu Gajah, Perak – menandakan kerjasama teknologi dan pembangunan tempatan dalam projek rel rentas sempadan ini. Set tren 02 hingga 05 kini sedang dalam proses pemasangan di Batu Gajah, manakala set tren 06 hingga 08 akan menyusul tidak lama lagi.
Setelah siap, kesemua tren akan ditempatkan di Depoh Wadi Hana di Johor Bahru untuk ujian selanjutnya dan persiapan akhir sebelum ditauliahkan untuk operasi penumpang.
Dengan kapasiti membawa lebih 600 penumpang bagi setiap tren dan kemampuan menampung sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala, RTS Link bakal menjadi nadi baharu pengangkutan awam antara dua negara. Sehingga kini, kemajuan keseluruhan projek telah mencapai 56 peratus dan disasarkan untuk beroperasi menjelang Disember 2026.