Ahli Lembaga Pengarah Prasarana bersama wakil-wakil dari Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah turun padang bagi meninjau perkembangan projek Laluan Shah Alam (LRT3) pada 24 Februari 2025.
Lawatan bermula di Pusat Kawalan Operasi (OCC) dengan sesi panggilan keselamatan oleh semua yang hadir, diikuti dengan taklimat mengenai perkembangan projek yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Projek LRT3, En. Ir. Abdul Baser. Beliau berkongsi ciri-ciri utama stesen dan tren yang akan digunakan, termasuk reka bentuk bangunan depoh, reka bentuk stesen dan kemudahan yang disediakan, serta kapasiti tren. Selain itu, beliau turut mengimbas kembali skop asal projek sebelum dan selepas skop dikembalikan (reinstatement) pada 2023.
Seterusnya, Ketua Operasi Laluan Shah Alam, En. Mohd Ariffin Idris, berkongsi mengenai kesiapsiagaan operasi Laluan Shah Alam ini. Beliau memaklumkan bahawa ujian percubaan dijangka bermula pada bulan Julai, dengan tenaga kerja kini mencapai 83% daripada jumlah yang diperlukan.
Sebagai tanda penghargaan, Ir. Datuk Khairil telah menyampaikan cenderamata kepada Dato’ Dr. Amiruddin bin Muhamed, Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Kementerian Kewangan. Selepas sesi taklimat, delegasi meneruskan lawatan ke Bangunan Penyelenggaraan Berat & Ringan sebelum menaiki tren LRT3 menuju ke Stesen Seksyen 7 untuk melihat sendiri kesiapsiagaan sistem rel ini menjelang peluncurannya pada bulan September nanti.
Projek LRT3 ini bakal menjadi pencetus perubahan (game-changer) dalam meningkatkan jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang. Apabila siap kelak, ia akan menghubungkan penduduk di Koridor Barat Lembah Klang iaitu dari Bandar Utama, Shah Alam, dan Klang terus ke pusat bandar Kuala Lumpur. Laluan ini bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah turut memberikan pilihan perjalanan yang lebih selesa dan efisien kepada pengguna harian.
